
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi mengekalkan pendirian berhati-hati mereka terhadap prospek perdagangan Malaysia tahun ini berikutan ketidaktentuan tarif global yang dijangka menjejaskan prestasi perdagangan dan pembuatan negara.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata rejim tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dijangka terus memberi tekanan ke atas dinamik perdagangan global, dengan implikasi yang ketara terhadap ekonomi Malaysia yang dipacu eksport.
Beliau berkata sebagai pemain utama di ASEAN, sektor Malaysia yang bergantung kepada perdagangan seperti elektronik, minyak sawit dan barangan perkilangan menghadapi cabaran di tengah-tengah keadaan tidak menentu ini.
“Walaupun perdagangan global tidak mungkin tumbang, jumlah eksport dijangka menyederhana, deng an kesan penuh ekonomi dapat dilihat lebih jelas dalam tempoh tiga bulan selepas pelaksanaan tarif,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata data dari Mei 2025 mula memperlihatkan impaknya. Eksport Malaysia ke AS merosot sebanyak 2.8 peratus kepada RM18.68 bilion daripada RM19.22 bilion pada April, mencerminkan pelarasan pasaran yang lebih meluas.
Dalam kalangan 10 destinasi eksport utama Malaysia, hanya empat – China, Kesatuan Eropah, Taiwan dan Vietnam mencatat pertumbuhan eksport, menunjukkan daya tahan perdagangan yang tidak sekata.
“Ini selari dengan trend global, kerana pergeseran geopolitik yang semakin meningkat, khususnya ketegangan perdagangan AS-China, telah menyebabkan penstrukturan semula rantaian bekalan termasuk re-shoring (membawa semula pengeluaran ke pasaran domestik), friend-shoring (berpindah ke negara sekutu), dan near-shoring (beralih ke negara yang berdekatan secara geografi),” jelasnya.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 2.6 peratus pada Mei 2025 mencecah RM252.48 bilion, menandakan pertumbuhan bulan ke-17 berturut-turut sejak Januari 2024.
MITI menerusi satu kenyataan hari ini berkata eksport menyederhana 1.1 peratus kepada RM126.62 bilion, manakala import meningkat 6.6 peratus kepada RM125.86 bilion. Lebihan perdagangan bagi bulan itu berjumlah RM766.3 juta, menandakan lebihan dagangan bulan ke-61 berturut-turut sejak Mei 2020.
Kelebihan Malaysia dalam penjajaran semula rantaian bekalan ASEAN
Mohd Sedek berkata kedudukan strategik Malaysia dalam ASEAN meletakkannya sebagai penerima manfaat yang berpotensi daripada perubahan lokasi asas pengeluaran.
Peranan rantau ini yang semakin berkembang sebagai hab kepada negara yang mempunyai hubungan erat serta negara berdekatan, dipacu oleh lokasinya yang berhampiran dengan pasaran utama seperti China dan persekitaran politik yang agak stabil, meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai pangkalan pembuatan alternatif.
“Sebagai contoh, syarikat multinasional yang berhasrat mempelbagaikan operasi selain di China berikutan tarif atau risiko geopolitik semakin memberi tumpuan kepada negara ASEAN.
“Sektor elektronik Malaysia yang kukuh, dengan menyumbang kira-kira 40 peratus daripada eksport negara dijangka menerima manfaat daripada perubahan ini, terutama apabila syarikat memindahkan pembuatan semikonduktor dan komponen ke Pulau Pinang dan Johor,” katanya.
Selain itu, Malaysia memanfaatkan keanggotaan negara dalam ASEAN untuk meningkatkan kepelbagaian perdagangan.
Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang merangkumi ASEAN serta ekonomi utama seperti China, Jepun dan Korea Selatan memberikan Malaysia akses kepada pasaran yang merangkumi 2.2 bilion pengguna sekali gus mengurangkan kesan tarif dari AS.
“Manfaat ini mencerminkan langkah proaktif Malaysia ke arah pasaran pesat membangun, mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang tradisi seperti AS,” katanya.
Meneroka Pertumbuhan Semikonduktor Menerusi Kedudukan Strategik
Sementara itu, Mohd Sedek berkata Malaysia boleh memanfaatkan unjuran sebanyak 12.5 peratus dalam pertumbuhan jualan semikonduktor global dengan mengunakan kedudukannya yang strategik di ASEAN dan menjajarkan diri dengan trend friend shoring.
Integrasi yang lebih mendalam di bawah RCEP dan mengukuhkan perkongsian dengan Singapura dan Vietnam akan memperkuat daya tahan rantaian bekalan serantau.
Beliau berkata untuk menarik syarikat-syarikat beralih keluar dari China, Malaysia perlu membangunkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM83 bilion yang diperoleh pada 2024 dan menawarkan insentif yang bersasar.
Selain itu, meningkatkan rantaian nilai kepada reka bentuk dan fabrikasi cip, yang dibantu oleh sokongan institusi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja adalah amat penting, katanya.
“Walaupun potensi tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat mungkin menjejaskan eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), usaha mempelbagaikan pasaran ke negara-negara seperti India dan Arab Saudi, di samping pelaburan dalam pembuatan hijau, Industri 4.0, dan peralihan beransur-ansur ke arah Industri 5.0, akan menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi tinggi yang neutral dalam landskap perdagangan global yang semakin berpecah-pecah,” tambahnya.
Menurut MITI, eksport produk-produk E&E terus berdaya tahan dengan mencatatkan peningkatan hampir RM4 bilion selaras dengan unjuran Semiconductor Trade Statistics iaitu kenaikan sebanyak 11.2 peratus dalam jualan semikonduktor global pada 2025.
Tinjauan Berhat-hati Ketika Ketidaktentuan Perdagangan Global
Turut senada dengan Mohd Sedek, RHB Investment Bank Bhd menjangkakan momentum perdagangan akan perlahan apabila kesan daripada aktiviti penghantaran berkurangan.
Bank pelaburan itu menjelaskan sekiranya ketegangan tarif kembali memuncak selepas tempoh penangguhan tarif itu berakhir, sektor yang sangat bergantung kepada permintaan dari Amerika Syarikat dan China.
Itu termasuk sektor yang sangat berorientasi eksport seperti elektrik & elektronik (E&E), bahan mentah, dan jentera yang akan paling terkesan akibat tarif langsung AS terhadap Malaysia serta kesan limpahan yang lebih meluas akibat ketegangan perdagangan yang berterusan, tambahnya.
“Selain itu, pertumbuhan yang berkemungkinan lebih perlahan dalam kalangan ekonomi utama dan ketidaktentuan yang masih berterusan berkaitan ketegangan tarif (terutama selepas tempoh penangguhan) menimbulkan risiko negatif yang ketara terhadap prospek perdagangan dan pertumbuhan Malaysia, sekali gus mengukuhkan pendirian berhati-hati kami,” menurut bank pelaburan itu.
-Bernama