Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Premier Sarawak pimpin perarakan Gawai Dayak 2025, 91 kontinjen warnai tebingan Kuching
  • SEMASA

Premier Sarawak pimpin perarakan Gawai Dayak 2025, 91 kontinjen warnai tebingan Kuching

Utusan Sarawak 1 day ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain memimpin perarakan para kontinjen pada Perarakan Budaya Gawai Dayak 2025. Foto UKAS

KUCHING: Tebingan Sungai Sarawak berubah menjadi lautan warna-warni budaya apabila Perarakan Budaya Gawai Dayak 2025 berlangsung dalam suasana penuh meriah dan berprestij, menyatukan rakyat berbilang etnik dalam semangat kebudayaan yang utuh.

Sebanyak 91 kontinjen melibatkan 2,730 peserta menyertai perarakan sejauh 1.2 kilometer bermula dari Bangunan Tun Jugah hingga ke Pentas Utama Tebingan Kuching, mempersembahkan kepelbagaian warisan melalui busana tradisional, alunan muzik etnik dan tarian rakyat yang memukau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai perarakan, menzahirkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memelihara dan meraikan warisan budaya masyarakat pelbagai kaum sebagai asas perpaduan negeri ini.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Gawai Dayak 2025 bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Kemuncak perarakan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, mencerminkan pengiktirafan Gawai Dayak sebagai perayaan budaya bertaraf nasional yang diraikan secara inklusif dan muhibah.

PERARAKAN dari kontinjen SDNU Cawangan Samarahan. Foto UKAS

Edisi kali ini memberi penghormatan istimewa kepada komuniti Orang Ulu, yang mempesona penonton dengan persembahan alat muzik tradisional seperti sape, oguong dan kitaak, memperlihatkan keindahan dan keunikan seni asli Bumi Kenyalang.

Penyertaan kaum Iban dan Bidayuh menambahkan lagi warna budaya, manakala kehadiran Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak serta delegasi Dayak dari Kalimantan, Indonesia memperkukuh hubungan budaya serantau dalam semangat Nusantara.

Sebelum perarakan bermula, satu upacara ritual adat ‘Mamat’ diketuai Pemanca Tony Kulleh dari komuniti Kenyah, Belaga diadakan di lobi Bangunan Tun Jugah sebagai simbolik permohonan restu dan perlindungan roh nenek moyang agar perjalanan acara diberkati.

Buat julung kalinya, sebanyak 12 kenderaan berhias dipertandingkan mengikut kategori etnik utama iaitu Orang Ulu, Iban dan Bidayuh dengan hadiah wang tunai RM10,000 (tempat pertama), RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga), serta saguhati RM1,000 bagi kontinjen paling kreatif.

Pemenang bagi kategori etnik Orang Ulu Johan milik Persatuan Tagal Okolod Sarawak (PTOS), naib johan Persatuan Lahanan Sarawak (PLAS), tempat ketiga Persatuan Wanita Kayan Sarawak (PWKS) dan saguhati masing-masing di menangi Orang Ulu Warrior dan Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS). 

Pemenang bagi kategori etnik Iban Johan milik Raban Betong 2025, naib johan GOASS: Persatuan Etnik Dayak Asal Sarawak (PEDAS), tempat ketiga Sarawak Dayak National Union, Bahagian Belia dan saguhati masing-masing di menangi oleh Asadia (HQ) dan Sarawak Dayak National Union, Cawangan Bandar Riyal. 

Pemenang bagi kategori etnik Bidayuh pula Johan milik Persatuan Pewaris Adat Asal Singai Bau, naib johan DBNA Cawangan Penrissen, tempat ketiga DBNA Cawangan Siburan dan saguhati masing-masing di menangi oleh DBNA Cawangan Serapi dan Kelab Rekreasi Pengguna dan Pengurusan Dewan Serbaguna Kampung Tematu. 

Lebih daripada sekadar perarakan budaya, Gawai Dayak 2025 menjadi medan memupuk solidariti, jati diri dan kebanggaan rakyat Sarawak terhadap warisan nenek moyang yang terus dipertahan dalam arus kemodenan.

Oleh Norman B.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Permintaan sertai perkhidmatan awam kekal tinggi, SPA jangka 1.3 juta permohonan
Next: TPM Zahid Hamidi tiba untuk lawatan dua hari 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.