
PETRA JAYA: Sebanyak 10,522 kes telah dikenakan hukuman di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di seluruh negara sejak program itu dilaksanakan pada 2008 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, 8,125 kes melibatkan pesalah muda, 2,163 kes pesalah kanak-kanak, manakala 234 kes melibatkan pesalah dewasa.
Menurutnya, semua kesalahan yang dikendalikan di bawah PKM melibatkan pelbagai jenis kesalahan ringan dengan tempoh maksimum hukuman ialah 240 jam kerja khidmat masyarakat.
“Kita semua pernah buat silap. Bezanya bukan semua orang diberi peluang kedua. Tetapi melalui PKM, kita beri ruang kepada pelatih untuk memperbaiki diri mereka.
“PKM bukan sekadar hukuman alternatif. Ia adalah ruang pemulihan. Ia membina semula keyakinan diri, membentuk jati diri dan memberi peluang kedua untuk mereka kembali sebagai anggota masyarakat yang lebih baik,” katanya ketika ditemui media pada Program Ilmu dan Bakti Perintah Khidmat Masyarakat di Surau Nurul Hilal, Kampung Pulo di sini, hari ini.
Nancy berkata, sehingga kini pelaksanaan PKM di seluruh negara telah menjana lebih 1.85 juta jam kerja khidmat masyarakat yang diselia oleh Pegawai PKM dan Penyelia Lapangan di peringkat daerah.
Di Sarawak sahaja, sehingga Mei 2025, masih terdapat 30 kes aktif sedang dijalankan yang merangkumi 22 pesalah muda, tujuh pesalah kanak-kanak dan satu pesalah dewasa.
Tambah beliau, hasil kajian oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menunjukkan keberkesanan PKM dalam memberi kesan positif terhadap sikap, emosi dan integrasi sosial dalam kalangan peserta program.
Oleh Shikin Mahmud