
SARIKEI: Seramai 40 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) telah menerima sijil pelantikan masing-masing di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei (IAC).
Seramai 36 KMKK adalah penyandang jawatan sedia ada yang menerima sijil pelanjutan, manakala empat adalah KMKK baharu.
Hadir bagi menyaksikan penyerahan sijil pelantikan ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, pelantikan tersebut bukan sahaja satu penghormatan, malah satu amanah besar yang menuntut komitmen, integriti dan keikhlasan yang tinggi.
“KMKK merupakan pemimpin akar umbi yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.
“Oleh itu, KMKK perlu sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan serta permasalahan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil pelantikan tersebut, baru-baru ini.
Tambahnya, peranan KMKK termasuklah melaporkan isu-isu berbangkit kepada kerajaan melalui jabatan serta agensi berkaitan agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan pantas.
“Saya menyeru agar semua KMKK yang dilantik dapat terus berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengira latar belakang politik, sejajar dengan arus perubahan dan pembangunan semasa.
“Kita perlulah kekal sebagai satu pasukan yang mantap, bekerjasama rapat dengan Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Sarikei demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Turut hadir ialah Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong dan Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin.
Oleh Earl Anek