


KUALA LUMPUR: Setelah lebih sedekad tidak muncul dengan karya baharu, penyanyi popular Datuk Nora Ariffin kembali dengan naskhah penuh emosi berjudul Sudah Tertulis, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 53, berkata lagu itu merupakan luahan peribadi kisah perjalanan hidup tentang takdir yang tertulis untuk dirinya.
“Lagu ini sangat bermakna buat saya kerana ia mencerminkan perjalanan hidup saya sendiri. Ini bukanlah naskhah terakhir, tetapi antara karya terbaik yang pernah saya hasilkan setakat ini,” katanya kepada Bernama selepas menjayakan rakaman audio siar Hidup Ini Keras terbitan Bernama, baru-baru ini.
Sudah Tertulis, yang diterbitkan dan dilancarkan sepenuhnya di platform digital kira-kira empat bulan lepas, membawa naratif tentang kehidupan dan ketentuan Ilahi, merupakan hasil ciptaan komposer berpengalaman Sharon Paul dengan lirik oleh Lukhman S.
Walaupun belum dipromosikan secara besar-besaran, Nora bersyukur dengan sokongan berterusan peminat yang setia mengikuti perkembangan terkininya.
“Setakat ini sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Alhamdulillah, peminat yang memang mengikuti saya tentu tahu. Tapi saya pun akur juga, sekarang ini memang banyak lagu baharu di pasaran,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu turut merancang menerbitkan program audio siarnya sendiri serta menyimpan impian untuk mengadakan konsert pada masa akan datang.
Sementara itu, Nora turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak ketiganya hasil perkahwinan dengan Allahyarham Johan Nawawi, Putri Dahlia, yang kini aktif membina nama dalam industri muzik tanah air.
Menurutnya, Putri Dahlia menunjukkan usaha gigih dan berdikari dalam membangunkan kerjaya seninya tanpa bergantung pada namanya.
“Sebagai ibu, saya sangat gembira melihat usaha gigih dia. Dia sangat berdikari, tak pernah minta tolong pun. Lagu terbaharu dia, Aku Ada, yang dinyanyikan bersama-sama anak Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani, menunjukkan kombinasi yang sangat kuat,” katanya.
Tambahnya, Putri Dahlia mewarisi bakat seni Allahyarham bapanya, malah mengurus sendiri segala aspek penghasilan dan promosi muziknya.
Sebelum ini, Putri Dahlia dikenali menerusi beberapa lagu berbahasa Inggeris seperti Set U Free, Mi Amor, Butterflies dan Old Love, yang sering tular di aplikasi TikTok.–Bernama