
KUCHING: Usaha menangani populasi anjing terbiar secara berperikemanusiaan dan berasaskan sains dilaksanakan menerusi program rintis gotong-royong hasil inisiatif Pertubuhan Kebajikan Haiwan Sarawak (HASS) bersama Klinik Haiwan Animal Central Veterinary (ACV) di bawah pengawasan pakar bedah veterinar, Dr. Davies.

Program berteraskan pendekatan Trap-Neuter-Vaccinate-Return (TNVR) ini bukanlah sains baharu, namun masih kurang digunakan di lapangan.
Berbeza dengan kaedah pelupusan haiwan yang sering menjadi pilihan, inisiatif ini menekankan penyelesaian yang disokong oleh bukti dan keberkesanan jangka panjang.
“Tiada publisiti, tiada jurugambar, dan tiada upacara rasmi. Apa yang kami lakukan hari ini bukan untuk tontonan tetapi hasil gabungan tekad NGO dan perkhidmatan veterinar tempatan yang menterjemah kasih sayang, sains dan tanggungjawab kepada tindakan nyata,” kata jurucakap HASS dalam satu kenyataan hari ini.
Pembedahan dijalankan di dalam unit operasi bergerak milik ACV yang lengkap dengan pendingin hawa dan kelengkapan steril, membolehkan prosedur dijalankan secara profesional terus dalam komuniti yang memerlukan.
Tidak seperti program vaksinasi yang tertumpu kepada haiwan peliharaan, program TNVR ini menyasarkan anjing jalanan yang selama ini terpinggir daripada usaha vaksinasi.
Usaha mengebiri anjing terbiar merupakan cabaran besar yang masih belum ditangani secara sistematik oleh pihak berkuasa mahupun NGO lain.

HASS turut menegaskan bahawa tanggungjawab memvaksin dan mengebiri haiwan peliharaan adalah kewajipan asas setiap pemilik, bukan satu pilihan.
“Rakyat biasa atau NGO yang kekurangan sumber tidak boleh memikul tanggungjawab ini sendirian.
“Dalam masyarakat yang mendakwa menghargai kesihatan awam, penjagaan anjing komuniti dan terbiar sepatutnya menjadi tanggungjawab kolektif agensi kerajaan berkaitan,” tambah kenyataan itu.

Dalam usaha memastikan keselamatan haiwan, anjing yang terlibat dalam program ini ditanda menggunakan AirTag berleher, satu alternatif lebih selamat dan tidak invasif berbanding penggunaan tag telinga yang sering menyebabkan jangkitan, koyakan dan abses yang menyakitkan.
Sebagai menyokong matlamat Sarawak untuk bebas rabies menjelang 2030, HASS menegaskan bahawa sudah tiba masanya penyelesaian yang berkesan dilaksanakan secara menyeluruh, menggantikan pendekatan ‘tembak dahulu’ yang sering disalahertikan sebagai kawalan rabies.
Menurut kenyataan itu, penggunaan senapang bius tidak mampu menyelesaikan masalah rabies mahupun mengurangkan populasi haiwan terbiar, sebaliknya pendekatan TNVR terbukti lebih berkesan kerana bersifat berperikemanusiaan, saintifik dan menyeluruh.
HASS menggesa agar prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, kerjasama pelbagai agensi dan iltizam politik digembleng bagi menghentikan kaedah lapuk dan memulakan gerakan yang benar-benar berkesan.
