
KUALA LUMPUR: Individu yang melaporkan secara terus sebarang maklumat salah laku kepada agensi penguat kuasa serta memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan akan diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata ia adalah antara perkara penting yang perlu difahami oleh masyarakat selain tidak boleh mendedahkan maklumat kepada umum.
Beliau berkata meskipun Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 melindungi pemberi maklumat daripada tindakan balas tidak wajar, ia hanya dapat dilaksanakan dengan syarat laporan dibuat mengikut prosedur yang sah kepada agensi penguat kuasa seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ada yang berpendapat sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai salah laku boleh memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat atau whistleblower, tetapi hakikatnya tidak semudah itu.
“Salah faham yang sering timbul ialah kepercayaan bahawa pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat secara umum, contohnya kepada media atau media sosial sebelum memohon perlindungan. Ini adalah tanggapan yang salah,” katanya kepada Bernama.
Wan Shaharuddin berkata selain itu, bagi mendapatkan perlindungan pemberi maklumat, laporan berkenaan juga perlu dibuat dengan niat baik dan bukannya bermotifkan dendam atau fitnah selain pemberi maklumat tidak terlibat dalam kesalahan yang dilaporkannya.
“Seperti dalam Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, ia jelas menyatakan bahawa perlindungan boleh dibatalkan jika pemberi maklumat berkenaan didapati turut terlibat dalam salah laku yang didedahkan.
“Ini bagi memastikan integriti pemberi maklumat dan mengelakkan mereka daripada menyalahgunakan status perlindungan sebagai ‘perisai’ untuk melindungi diri mereka daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata walaupun undang-undang dapat melindungi pemberi maklumat, namun individu itu masih berdepan pelbagai cabaran termasuk dilabel sebagai ‘pengadu’ atau ‘pengkhianat’, kebimbangan terhadap ancaman dan diskriminasi selain kurangnya pemahaman mengenai prosedur sah untuk memohon perlindungan.
Beliau berkata dalam usaha menggalakkan lebih ramai individu tampil membuat laporan berkaitan rasuah, kerajaan telah memperkenalkan insentif tunai dan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan rasuah kepada SPRM sejak 2011.
Katanya, setakat tahun lepas, seramai 514 penjawat awam telah menerima ganjaran melebihi RM1 juta dengan ganjaran tertinggi sebanyak RM100,000 pernah diberikan kepada seorang penjawat awam.
Wan Shaharuddin berkata selain itu, bagi memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat pada 6 Mac lepas.
“Pindaan itu bertujuan memperkasakan lagi perlindungan kepada pemberi maklumat yang melaporkan salah laku terutamanya dalam sektor awam dan swasta berkaitan gejala rasuah yang dijangka memberikan perlindungan lebih komprehensif kepada pemberi maklumat termasuk perlindungan daripada tindakan memudaratkan dan kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah.
“Pindaan ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai individu untuk tampil melaporkan salah laku tanpa rasa takut,” katanya.– BERNAMA