Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kejohanan Memanah Terbuka Recurve, perkukuh sukan akar umbi di Sibu
  • SUKAN

Kejohanan Memanah Terbuka Recurve, perkukuh sukan akar umbi di Sibu

Utusan Sarawak 9 hours ago

TIMBALAN Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang ketika merasmikan kejohanan `1st Recurve Open Archery Invitational Tournament 2025′ di SMK Sacred Heart hari ini. Foto: Tarani Lanting

SIBU: Kejohanan Memanah Terbuka Recurve Jemputan Kali Pertama 2025 yang juga dikenali sebagai 1st Recurve Open Archery Invitational Tournament 2025 anjuran Kelab Memanah Falcon Sibu membuka tirainya hari ini di SMK Sacred Heart.

Kejohanan selama tiga hari itu menyaksikan penyertaan sekolah dari dalam dan luar Sarawak termasuk Sabah, Pahang dan Melaka selain wakil-wakil dari Miri, Sibu, Kuching, Sarikei dan Bintulu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang yang menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting dalam memartabatkan sukan memanah di peringkat akar umbi.

Menurutnya, sukan memanah bukan sekadar pertandingan tetapi membawa nilai-nilai seperti disiplin, tumpuan serta kecemerlangan yang mampu membentuk karakter unggul dalam diri setiap atlet.

“Memanah adalah bukti disiplin manusia, tumpuan dan mengejar kecemerlangan tanpa henti. Dengan setiap seri busur, atlet menjelmakan kesabaran, ketepatan dan ketabahan yang bergema jauh di luar julat.

“Kejohanan hari ini adalah perayaan nilai-nilai ini, menghimpunkan individu berfikiran sama yang disatukan oleh semangat dan tujuan,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Memanah Falcon Sibu atas usaha memperkasakan sukan memanah sekali gus membina komuniti sihat melalui penganjuran kejohanan berkenaan.

“Dengan mencipta platform seperti ini, anda bukan sahaja memupuk juara masa depan tetapi turut mengukuhkan ikatan sesama keluarga dan sekolah serta meletakkan Sibu di peta sebagai hab kecemerlangan memanah,” katanya.

Tambah beliau, sukan adalah tunjang pertumbuhan masyarakat yang mampu mengajar ketahanan, rasa hormat dan semangat kerja berpasukan merentas pelbagai latar belakang.

“Saya percaya kejohanan ini dengan penekanan terhadap permainan adil, keterangkuman dan interaksi membuktikan bagaimana sukan boleh menyatukan kita serta mendorong ke arah masa depan lebih harmoni,” jelasnya.

Tiang turut memberi semangat kepada para peserta supaya meletakkan sasaran tinggi serta bertanding dengan sepenuh hati tanpa mengira sama ada membawa pulang pingat atau sekadar kenangan.

“Kepada Kelab Memanah Falcon Sibu, terima kasih atas dedikasi anda dalam mempertingkat komuniti melalui sukan. Semoga kejohanan ini menjadi yang pertama daripada banyak kejayaan,” ujarnya.

Turut hadir Presiden Kelab Memanah Falcon Sibu, Tiong Hung Sing dan Pengetua SMK Sacred Heart, David Teo.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Karate sapu empat emas di Brunei
Next: Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak platform kenal pasti bakat SUKMA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.