
merakam gambar bersama poster SCat Fair 2025, hari ini.
KUCHING: Penganjuran Sarawak Pameran Kerjaya dan Latihan (SCaT Fair) 2025 bakal membuka ruang kerjaya lebih luas kepada para pencari kerja menerusi sesi temu duga secara terus dengan tawaran sebanyak 1,561 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan dan lain-lain.
Pameran kerjaya dan latihan terbesar di Sarawak itu akan diadakan pada 5 dan 6 Julai 2025 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata antara pengisian baharu SCaT Fair 2025 ialah penubuhan Zon Minyak dan Gas yang diuruskan oleh Petros, dengan penglibatan syarikat terkemuka seperti Petronas, Eneos Xplora, PTTEP, Mubadala, Brooke Dockyard, Petra Energy dan lain-lain.
“Selain peluang pekerjaan, SCaT Fair 2025 turut menampilkan pelbagai program sampingan menarik dan bermanfaat,” katanya pada sidang media di BCCK, hari ini.
Mengulas lanjut, Roland berkata pendidikan adalah tulang belakang kepada pembangunan masyarakat dan kerajaan negeri komited dalam memperkasakan pelajar melalui pelbagai bentuk sokongan.
“Pendidikan membantu pelajar menjalani kehidupan yang bermakna serta membentuk mereka menjadi individu yang produktif.
“Komitmen kerajaan negeri jelas melalui bantuan kewangan kepada pelajar, guru dan pelatih, selain pelaburan besar dalam infrastruktur pendidikan,” tambah beliau.
Antara pengisian program termasuk Dinding Maklumat Inisiatif Sarawak, Cabaran Kuiz Mega Sarawak, dan Taman Permainan STEM yang direka khas untuk merangsang minat terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pengunjung muda.
Untuk rekod, edisi SCaT Fair pada 2024 telah dianjurkan dengan jayanya di dua lokasi, iaitu Kuching (Pusat Pertukaran Hikmah) dan buat julung kalinya di Stadium Tertutup Sibu.
Kedua-dua lokasi ini telah berjaya mencatat jumlah kehadiran keseluruhan seramai 29,068 pengunjung, iaitu 20,240 di Kuching dan 8,828 di Sibu.
SCaT Fair merupakan acara tahunan terbesar Sarawak dalam bidang pendidikan dan kerjaya, yang mula diperkenalkan sejak 2012 oleh Unit Pembangunan Tenaga Kerja (WDU), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
Sejak 2017, penganjurannya telah diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, industri serta persatuan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.
Oleh Adele Rissa & Amanda L.