Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Tarif AS lebih tinggi ke atas pesaing beri kelebihan kepada eksport kayu Malaysia
  • BISNES

Tarif AS lebih tinggi ke atas pesaing beri kelebihan kepada eksport kayu Malaysia

Utusan Sarawak 11 hours ago
EKSPORT perkayuan Malaysia berpotensi mendapat kelebihan daya saing di pasaran Amerika Syarikat (AS) berikutan tarif lebih tinggi yang dikenakan kepada pesaing serantau seperti Vietnam dan Indonesia.

KUALA LUMPUR:  Eksport perkayuan Malaysia berpotensi mendapat kelebihan daya saing di pasaran Amerika Syarikat (AS) berikutan tarif lebih tinggi yang dikenakan kepada pesaing serantau seperti Vietnam dan Indonesia.

Pengarah Bahagian Keluaran Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Wan Tarmeze Wan Ariffin berkata Vietnam yang pernah menjadi pengeksport perabot terkemuka di rantau ini kini berdepan tarif sehingga 46 peratus berbanding levi import Malaysia sebanyak 24 peratus.

“Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas Vietnam barangkali kerana bimbang China mungkin menggunakan Vietnam sebagai hab pembuatan untuk mengelakkan sekatan perdagangan AS,” katanya kepada Bernama.

AS adalah pembeli terbesar perabot Malaysia, merangkumi lebih separuh daripada jumlah eksport perabot negara.

Bagaimanapun, tarif yang diumumkan pada 2 April telah ditangguhkan selama 90 hari sehingga awal Julai bagi memberi ruang kepada rakan dagang AS untuk berunding dalam mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah.

“Sekiranya mereka tidak mengenakan tarif tinggi ke atas Vietnam, China boleh menggunakan laluan itu. Oleh itu, atas kertas, kelebihan sebenarnya berpihak kepada kita (Malaysia),” katanya.

Pada 2022, Malaysia mengeksport produk kayu dan berasaskan kayu bernilai RM7.73 bilion ke AS, dengan peningkatan yang stabil daripada RM3.76 bilion pada 2018.

Eksport perkayuan Malaysia ke seluruh dunia termasuk produk seperti perabot, balak, venir, papan lapis dan papan gentian berketumpatan sederhana.

Mengenai cabaran yang dihadapi oleh industri perkayuan, Wan Tarmeze berkata sektor perabot Malaysia kebanyakannya bergantung kepada kayu diproses berbanding kayu padu, dengan bahan berasaskan kayu menyumbang sehingga 85 peratus input dalam pembuatan perabot berkenaan.

Ketegangan geopolitik boleh lahirkan peluang 

Wan Tarmeze berkata konflik ketenteraan yang sedang berlaku antara Iran dan Israel dijangka tidak memberi kesan langsung kepada eksport perkayuan Malaysia.

Bagaimanapun, usaha pembinaan semula selepas konflik mungkin membuka peluang kepada pasaran baharu dan meningkatkan permintaan terhadap kayu Malaysia.

“Peperangan sering membawa kepada kerosakan yang meluas, tetapi apabila keadaan kembali stabil, biasanya akan berlaku lonjakan permintaan untuk kerja-kerja pembinaan semula — termasuk rumah dan infrastruktur,” katanya.

Gesa peralihan daripada OEM ke OBM bagi eksport kayu 

Ketika ditanya mengenai pendekatan Malaysia dalam meletakkan negara sebagai pengeksport kayu bernilai tinggi dan bukannya pemain berasaskan jumlah, beliau berkata peralihan itu pada akhirnya bergantung kepada pemain industri itu sendiri.

“Perbincangan ini telah berlaku sejak sekian lama, tetapi Malaysia masih banyak bergantung kepada model pengeluar peralatan asal (OEM), menghasilkan produk kayu untuk pihak lain tanpa mempunyai jenama sendiri yang kukuh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, IKEA iaitu jenama dari Sweden manakala Itali memiliki pelbagai jenama terkenal sendiri. Tetapi Malaysia masih belum melahirkan jenama yang menonjol di peringkat global,” katanya.

OEM merujuk kepada produk pembuatan untuk jenama lain manakala pengeluar jenama sendiri (OBM) melibatkan pembangunan dan pemasaran produk di bawah jenama sendiri.

Wan Tarmeze berkata walaupun kerajaan sering menggesa industri untuk beralih daripada OEM kepada OBM, perubahan itu masih belum berlaku.

“Isunya bukan mengenai identiti tetapi penjenamaan, dan tanpa penjenamaan, kita tidak berupaya membina nilai.

“Hakikatnya Malaysia cenderung untuk mengelak daripada meniru, tetapi kita perlu lebih terbuka untuk belajar daripada orang lain, malah “mencuri” idea dalam erti kata menyesuaikan amalan terbaik dan menjadikannya kepunyaan kita,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Gula bertapis kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan SST – MOF

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.