
KUALA LUMPUR: Hab Inovasi Aset Digital yang dilancarkan semalam menjadi langkah penting dalam usaha berterusan Bank Negara Malaysia memastikan sistem kewangan kalis masa depan selain memangkin sokongan agenda ekonomi digital negara.
Penolong Gabenor Dr Norhana Endut berkata inisiatif yang dilancarkan bersempena Simposium Sasana 2025, juga menjadi platform kolaboratif bagi memudahkan penglibatan awal serta secara konstruktif bagi bank pusat, pengawal selia dan pemain industri.
Hab itu juga bertujuan menyokong penggunaan aset digital dipercayai yang selaras dengan objektif dasar BNM, khususnya dalam menegakkan kepercayaan, kestabilan dan integriti sistem kewangan.
“Kemudahan ini membolehkan penglibatan awal dan konstruktif antara pengawal selia dengan industri yang dapat mendorong kepada menyokong ekonomi digital lebih ketara dan pada masa sama memastikan sistem kewangan kita kekal lancar dan berdaya tahan.
“Inilah antara inisiatif yang disasarkan ke arah matlamat itu dan berteraskan pengalaman BNM sebelum ini dengan penggiat domestik dan antarabangsa. Sebagai contoh, ini akan turut melengkapkan sandbox (ujian rintis) kawal selia sedia ada kita,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, hab itu akan menumpukan aspek menggalakkan kebolehkendalian dan memperkukuh jaminan pengawalseliaan selain menyediakan platform bagi meneliti inovasi dalam teknologi blockchain, aset token dan mata wang digital.
Norhana berkata pertumbuhan aset kripto yang signifikan di Malaysia dengan nilai dagangannya meningkat kepada RM13.9 bilion pada akhir 2024 daripada RM5.4 billion pada 2023 atau peningkatan sebanyak 157 peratus.
Namun, di sebalik perkembangan itu, aset kripto hanya menyumbang kurang satu peratus daripada jumlah deposit perbankan dan kurang 0.4 peratus daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia.
“Minat dan permintaan terhadap aset kripto itu sememangnya dapat dilihat. Jika dilihat secara keseluruhan, terdapat rangka kerja kawal selia dalam ruang aset digital.
“Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah pengawal selia bagi dagangan aset digital, penjagaan aset dan tawaran pertukaran awal (IEO),” katanya.
Norhana bagaimanapun menekankan bahawa tidak semua aset kripto direka dengan nilai sama selain pelbagai risiko seperti perlindungan pengguna dan keselamatan siber kepada jenayah kewangan dan impak makroekonomi seperti aliran keluar modal dan potensi kekurangan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut mengulas Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC), khususnya menerusi Projek Mawar yang pada masa ini meneliti potensi penggunaan CBDC borong bagi tujuan penyelesaian antara bank rentas sempadan dan domestik.
“Menerusi Projek Mawar ini, kita cuba melihat penggunaannya bagi tujuan itu dan melangkauinya.
“Kita melihat bagaimana sistem penyelesaian kasar masa nyata (RGTS) dapat saling kendali dengan teknologi yang menjadi platform saluran berteraskan lejar teragih,” katanya.
Menurutnya, penilaian BNM juga menunjukkan sistem pembayaran runcit sedia ada seperti DuitNow QR, adalah kekal memadai bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia.– Bernama