
SARIKEI: Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarikei merupakan satu-satunya pejabat JPJ di Sarawak yang menyediakan bangunan kuarters kepada pegawai dan anggota JPJ yang bertugas di sini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata JPJ Sarikei berpindah ke kompleks baharu tersebut yang terletak di Batu 5, Jalan Repok pada penghujung Julai 2024.
“Pembukaan kompleks baharu ini adalah satu lagi langkah besar dalam memperkukuhkan infrastruktur perkhidmatan awam di negeri ini.
“Kompleks ini dibangunkan di atas tapak seluas 6.053 hektar di Lot 615, Blok 60, Daerah Sarikei dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta hasil daripada inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
“Pejabat JPJ Sarikei telah melalui beberapa fasa perkembangan dan transformasi sejak ia mula beroperasi selaras dengan komitmen MOT dan JPJ untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian kompleks baharu tersebut, hari ini.

Tambahnya, transformasi ini merangkumi penambahbaikan dari segi infrastruktur, sistem penyampaian perkhidmatan, digitalisasi urusan kaunter serta peningkatan kecekapan sumber manusia.
“Kompleks JPJ Sarikei ini mampu menampung lebih ramai pelanggan dengan anggaran seramai 400 orang setiap hari berbanding sebelum ini hanya menampung 200 orang sahaja.
“Kemudahan yang lebih luas dan selesa ini dijangka dapat mempercepat urusan di kaunter serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan JPJ secara keseluruhan.
“Ini jelas menunjukkan kita di peringkat pengurusan tertinggi MOT cakna dan prihatin dengan kebajikan dan keperluan anggota JPJ di peringkat akar umbi,” katanya.
Katanya lagi, penubuhan JPJ Sarikei memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan kehendak penduduk setempat seiring dengan peredaran semasa.
“Dengan adanya kemudahan infrastruktur yang lengkap ini, saya percaya Kompleks JPJ Sarikei bukan sahaja akan memberikan keselesaan kepada pegawai dan anggota, malah ia juga akan melancarkan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada komuniti setempat,” katanya.
Oleh Earl Anek