
KUALA LUMPUR: Malaysia mesti menuju ke arah ekonomi berkemahiran tinggi dan gaji yang lebih tinggi untuk menarik dan mengekalkan lebih ramai wanita dalam tenaga buruh formal, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Beliau berkata kebergantungan kepada tenaga buruh asing yang tidak mahir pada masa kini telah menghalang penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan pembaharuan diperlukan untuk membolehkan wanita menceburi serta mengekalkan diri mereka dalam pekerjaan formal.
“Kita mesti ubah keadaan ini. Malaysia mempunyai peluang untuk ekonomi kedua berkembang selepas berdekad-dekad mengalami kelembapan. Dengan ekonomi kita menuju ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi, kita memerlukan lebih ramai pekerja mahir dan tahap gaji yang lebih tinggi.
“Pasaran buruh yang ketat akan menggalakkan majikan untuk memberi lebih perhatian dan membolehkan wanita untuk terus kekal dalam tenaga kerja, bukan sahaja memasuki tenaga kerja, tetapi juga kekal sepanjang tahun,” katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Wanita ASEAN 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata bahawa tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan komitmen negara untuk memastikan kemajuan dan kemakmuran dikongsi bersama di seluruh rantau, tanpa meninggalkan sesiapa demi mencapai kestabilan dan daya tahan.
Sehubungan itu, beliau berkata adalah penting bagi Malaysia untuk berusaha lebih banyak dalam melibatkan wanita bagi mewujudkan persekitaran di mana mereka mempunyai peluang yang sama rata, dihargai dan boleh mengambil bahagian sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan, termasuk di tempat kerja dan masyarakat.
Beliau berkata Malaysia sebagai contoh melibatkan penyertaan wanita yang agak tinggi dalam membuat keputusan ekonomi tetapi, sebaliknya mempunyai kadar penyertaan tenaga buruh wanita yang agak rendah dan kira-kira 65 peratus pelajar universiti awam Malaysia ialah wanita, yang menunjukkan kadar kemasukan wanita yang sangat tinggi berbanding lelaki.
Bagaimanapun, keseimbangan berubah apabila graduan ini memasuki tenaga kerja, di mana kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia ialah 56 peratus berbanding 82 peratus bagi lelaki, dan kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara rakan di Asia Tenggara.
“Tetapi kejayaan Malaysia amat menarik kerana perkhidmatan awam didominasi oleh wanita dan 42 peratus wanita berada di peringkat membuat keputusan dalam perkhidmatan awam, yang merupakan kadar yang sangat tinggi mengikut piawaian negara membangun dan terutamanya negara membangun yang majoriti penduduknya beragama Islam,” katanya.
Beliau berkata bermula 2023, Malaysia mewajibkan 30 peratus keahlian dalam lembaga pengarah awam terdiri daripada wanita. – Bernama