ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak bersetuju dengan pembatalan penerbangan syarikat Malaysia Airlines (MAS), Air Asia dan MALINDO ke Sarawak bermula 15 hingga 30 April ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mendapati penerbangan dari Semenanjung ke Sarawak dan sebaliknya perlu untuk memenuhi keperluan serta perjalanan yang penting.
“Kita telah diberitahu oleh syarikat penerbangan MAS, Air Asia dan MALINDO, mereka membatalkan penerbangan ke Sarawak bermula dari 15 hingga 30 April ini.
“Bermakna dua minggu tiada penerbangan masuk dan keluar ke Sarawak dan JPBNS tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Sehubungan itu, JPBNS mengarahkan Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia mengenai isu ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.
Jelas Abdul Karim, selain daripada manusia yang menggunakan perkhidmatan penerbangan, banyak barangan dan keperluan lain yang turut menggunakan perkhidmatan penerbangan.
“Kalau ditutup terus pintu masuk, barangan yang ditempah termasuk topeng muka, barangan keperluan lain dan makanan juga tidak dapat masuk ke Sarawak dan ini akan menyebabkan pengurangan bekalan mendadak dan boleh menyebabkan harga barang melonjak naik,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau juga percaya dalam tempoh sebelum 15 April ini juga mungkin menyebabkan pertambahan penerbangan mendadak dengan orang ramai termasuk pelajar yang mahu balik ke Sarawak.
“Semestinya, apabila dengan maklum balas dari berita yang diumumkan hari ini, saya percaya ramai ibu bapa yang mahu anak mereka balik, dan kita menjangkakan ada tindakan tergesa-gesa untuk balik sebelum atau pada 15 April.
“Bagaimanapun kita masih di peringkat rundingan, kita ini adalah di pulau, kalau kapal tidak dapat masuk, ini agak sukar.
“Walaupun kita tahu satu daripada cara untuk mengekang adalah jangan terlalu ramai, tetapi kita perlu akur juga dan jika diaturkan dengan cara tertib, seperti mengikut SOP, ia juga boleh mengurangkan tahap merebaknya jangkitan,” tambahnya.
Beliau turut berkata masyarakat semakin sedar akan bahaya wabak ini dan kesedaran mereka semakin meningkat termasuk semua menggunakan topeng muka dan rakyat semakin dapat menerima keadaan ini dengan baik.