
Orang ramai berjalan di daerah Ginza di Tokyo dengan cuaca panas 34 darjah celcius. - Foto AFP
TOKYO: Suhu panas melampau mencetuskan amaran strok haba di beberapa wilayah di Jepun, hari ini dengan puluhan orang mendapatkan rawatan kecemasan di ibu kota Tokyo.
Kebelakangan ini, keadaan cuaca panas menjadi tajuk utama berita di negara itu, dengan tahun lalu mereka mengalami musim panas paling panas dalam sejarah, seiring dengan kesan perubahan iklim yang mendorong gelombang haba ekstrem di seluruh dunia.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, 14 bandar mencatat rekod suhu tinggi untuk bulan Jun, sementara di pusat bandar Tokyo, suhu mencecah 34.4 darjah celcius.
Pegawai perubatan juga dilapor merawat sekurang-kurangnya 57 orang yang mengalami masalah kesihatan berkaitan haba di Tokyo hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 169 orang sejak semalam.
Minggu ini, dilapor sekurang-kurangnya tiga kematian berkaitan strok haba di wilayah lain negara itu.
Sebilangan penduduk Tokyo juga memakai pakaian penahan haba untuk mengatasi suhu tinggi, antaranya Junko Kobayashi, 73, yang menunjukkan kepada AFP selendang penyejuk miliknya.
“Saya rendam dalam air dan lilit di leher. Ia rasa menyegarkan. Saya juga guna payung ini. Ia menghalang cahaya dan haba, jadi terasa lebih sejuk,” katanya.
Penduduk warga emas yang lain berkata, mereka cuba mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak berisiko terkena strok haba termasuklah Naoki Ito, 80, yang menyatakan, dia sentiasa memastikan dirinya kerap minum air.
“Tak perlu minum banyak sekali gus, cukup hanya teguk sedikit-sedikit. Itu penting untuk diingat,” kata Ito.
Setiap musim panas, pegawai Jepun menggesa orang ramai, khususnya golongan warga emas, untuk berada di tempat berhawa dingin bagi mengelakkan strok haba.
Warga emas menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah kematian berkaitan haba dalam tempoh lima tahun lalu.
Jepun juga sedang mengalami kemasukan pelancong yang mencatat rekod, dengan peningkatan 21 peratus pelawat asing secara tahunan pada Mei.
“Cuacanya memang sangat panas. Angin pun terasa panas, jadi sukar untuk rasa sejuk melainkan masuk ke dalam bangunan,” ,” kata Jack Budd, seorang pelancong Australia berusia 31 tahun yang cuba mencari tempat berteduh bersama rakan perjalanannya. – AFP