
KUCHING: Rainforest Youth Summit 2025 (RAYS) kembali untuk edisi kedua tahun ini dengan mengetengahkan tema ‘Living Landscapes: Charting a Sustainable Future’, berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang turut menyampaikan ucaptama sempena pembukaan acara tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Sarawak bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada penganjuran ini, tetapi berperanan sebagai jambatan kebudayaan dan suara belia di peringkat global.
“Sarawak membawa suara belia bukan hanya untuk rantau ini, tetapi untuk dunia. Kita ingin membina masa depan yang lestari dengan mengekalkan kebudayaan, memelihara hutan dan memperkasakan pengetahuan asli,” katanya.
Sidang kemuncak ini menghimpunkan 20 penceramah dari 16 negara, yang berkongsi pengalaman, idea dan wawasan dalam memperkukuh tindakan iklim serta agenda kelestarian sejagat.
Antara penceramah jemputan termasuk Zoya Miari, Tashi Lhazom, Dr Ahmad Zafir Abdul Wahab, Max Han, serta wakil dari Sarawak sendiri seperti Dr June Rubis dan Bethany Luhong Balan.
Topik yang dibincangkan sepanjang persidangan merangkumi Pemeliharaan Biodiversiti dan Ekosistem, Pembangunan Lestari, Advokasi Belia dan Aktivisme, Kebijaksanaan Asli serta Adaptasi Iklim.
Para peserta terdiri daripada golongan belia tempatan dan antarabangsa, yang bersama-sama membincangkan keperluan mengekalkan identiti kebudayaan dalam mendepani arus pemodenan, serta memelihara khazanah semula jadi seperti hutan, sungai dan laut demi masa depan generasi akan datang.
Tema tahun ini turut menyeru kepada tindakan berani dan berpandangan jauh, dengan melihat dunia sebagai sebuah ekosistem yang saling berhubungan, serta menjadikan kebijaksanaannenek moyang dan pengetahuan komuniti asal sebagai panduan membentuk masa depan yang mampan.
Oleh Norman B. dan Adele Rissa