Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Najib dibenarkan hadir pendengaran rayuan dakwaan wujud dokumen tambahan
  • MAHKAMAH

Najib dibenarkan hadir pendengaran rayuan dakwaan wujud dokumen tambahan

Utusan Sarawak 2 weeks ago
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu. – Foto Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri prosiding pendengaran rayuan yang difailkan oleh Peguam Negara berhubung dakwaan kewujudan dokumen tambahan yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah, membenarkan permohonan tersebut serta mengeluarkan Perintah Mengemukakan Tahanan (Order to Produce) bagi membolehkan kehadiran Najib pada prosiding pendengaran yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

Permohonan itu dikemukakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan tidak dibantah oleh Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipolamin yang mewakili Peguam Negara.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 1 dan 2 Julai bagi mendengar rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan dokumen berkenaan.

Pada 6 Jan lepas, melalui keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.

Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu, yang telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan yang didakwa tersebut.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Penganggur dipenjara tujuh bulan, disebat kerana curi beg tangan
Next: Court of Appeal dismisses Michael Kong’s stay application in defamation suit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.