
KUCHING: Sebanyak 14 tapak baharu telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Ordinan Warisan Sarawak (SHO) 2019, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sejarah serta kebudayaan negeri.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pewartaan tersebut diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bil. 1/2025 yang diadakan, hari ini.
“Antara tapak yang diwartakan termasuk Rumah Panjang Melanau Kampung Sok (Matu), Makam Dato Permaisuri (Miri), Tapak Masjid Bandaraya Kuching, dan Lombong Arang Batu Brooke di Gunung Ngili, Simunjan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memelihara warisan sejarah negeri, merangkumi tapak arkeologi, bangunan bersejarah, kawasan pertempuran serta artifak bawah laut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Abdul Karim turut memaklumkan bahawa Muzium Budaya Borneo (BCM) terus menjadi tarikan utama pelancongan dengan mencatat 117,095 pengunjung dari Januari hingga kelmarin.
Sejak dibuka pada 2022, BCM telah menerima lebih 1.35 juta pelawat.
Antara koleksi terbaharu yang menarik perhatian adalah sumbangan artifak berharga kepada Jabatan Muzium Sarawak, termasuk rangka ikan paus Sei sepanjang 13 meter yang ditemui di perairan Pulau Seduku pada November 2024.
Turut disumbangkan ialah alat pertukangan emas lama, parang antik, topi jerami era 1963 dan pasu seramik yang ditemui di Santubong.
Sarawak juga akan mengambil bahagian dalam sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 yang dijadual berlangsung di Kedah dari 23 hingga 29 Julai depan.
Sebanyak 34 kakitangan akan mewakili negeri ini dalam sambutan bertemakan “Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Berubah Pantas.”
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa projek Geopark Delta Sarawak kini bersedia untuk menerima lawatan penilaian lapangan oleh panel penilai UNESCO yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 Jun ini.
“Lawatan ini merupakan langkah penting ke arah mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark,” jelasnya.
Sarawak turut merancang untuk menganjurkan satu lagi pameran antarabangsa baharu bertajuk Helios pada November ini, dengan tema berfokus kepada matahari.
Pameran ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan siri pameran terdahulu seperti ‘The Moon, GAIA, danPristine Seas.
Oleh Masrin Affirah / Shikin Mahmud