Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak di landasan tepat bangunkan industri hidrogen
  • SEMASA

Sarawak di landasan tepat bangunkan industri hidrogen

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATUK Dr Hazland ketika berucap pada majlis Pencapaian 10 Juta Jam Kerja Tanpa Kecederaan Hilang Masa (LTI) oleh IoT Management Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. -Foto UKAS

KUCHING: Sarawak berada di landasan yang tepat dalam membangunkan industri hidrogen, berdasarkan pengalaman dan perkembangan industri tersebut di Aberdeen, Scotland, yang kini menjadi pusat utama bagi tenaga alternatif di Eropah.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, berkata lawatan kerja ke Aberdeen baru-baru ini memberikan gambaran jelas tentang potensi besar industri hidrogen yang dibangunkan secara berperingkat sejak 10 tahun lalu.

“Aberdeen hanyalah sebuah bandar kecil dengan populasi sekitar 240,000, hampir sama seperti Bintulu. Namun ia kini menjadi hab penting industri minyak dan gas, selain telah memulakan pembangunan industri hidrogen sedekad yang lalu,” katanya.

Menurut beliau, kunjungan ke fasiliti penyimpanan dan pengagihan hidrogen di Aberdeen turut mendedahkan penggunaan kenderaan hidrogen termasuk pengangkutan awam, serta kewujudan 11 stesen minyak yang menerima dan membekalkan hidrogen secara aktif.

“Saya tanya mereka kenapa bina banyak stesen hidrogen? Jawapan mereka mudah, rizab minyak dan gas semakin berkurangan, dan dijangka habis dalam 20 hingga 25 tahun. Mereka tidak punya pilihan selain beralih kepada tenaga alternatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Pencapaian 10 Juta Jam Kerja Tanpa Kecederaan Hilang Masa (LTI) oleh IoT Management Sdn Bhd (IOTM) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Justeru, beliau turut berkongsi bahawa pendekatan Zon Peralihan Tenaga (Energy Transition Zone, ETZ) yang diwujudkan di Aberdeen lima tahun lalu turut memberi inspirasi kepada Sarawak untuk membangunkan zon industri mesra alam dengan pendekatan holistik.

“Mereka turut membina taman dan laluan basikal sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti sekitar. Inilah model yang ingin kita perkenalkan di zon perindustrian Sarawak, sejajar dengan Pelan Induk Kelestarian negeri,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu turut memuji IOTM atas pencapaian cemerlang mencatat 10 juta jam kerja tanpa sebarang insiden Kecederaan Hilang Masa (Lost-Time Injury, LTI) bersamaan kira-kira 19 tahun operasi bebas kemalangan.

“Dalam industri berisiko tinggi, pencapaian ini amat luar biasa. Ia menunjukkan kepimpinan yang konsisten, sistem kerja yang tersusun serta keutamaan kepada aspek keselamatan pekerja,” tambahnya. -UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak giat kurangkan kebergantungan import beras, fokus tingkatkan sara diri makanan
Next: Mangsa kemalangan di Gerik tidak boleh lihat, dengar bunyi enjin bas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.