
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import beras, selaras dengan usaha meningkatkan tahap sara diri makanan (SSL) negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata ketika ini Sarawak hanya mencatatkan tahap sara diri beras sekitar 32 peratus, manakala selebihnya diimport dari negara seperti Vietnam dan India.
Beliau menyifatkan kebergantungan tinggi kepada bekalan luar sebagai satu risiko besar terhadap keselamatan makanan, khususnya jika berlaku sekatan eksport oleh negara pengeksport utama.
“Kalau negara-negara ini kurangkan eksport atau tidak dapat eksport, kita akan berdepan masalah. Sebab itu kita sangat serius dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada import makanan,” katanya ketika ditemui media sempena majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara langkah utama yang sedang dilaksanakan ialah menggubal dasar penggunaan tanah yang lebih strategik, termasuk mengenal pasti dan menggazetkan kawasan sesuai untuk tanaman padi di Limbang, Lawas dan beberapa lokasi lain.
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun tanaman kelapa sawit memberi pulangan tinggi, ia bukanlah makanan asas.
“Kita tidak boleh makan sawit. Oleh itu, kita perlu cari kaedah baharu seperti pertanian hibrid dan penggunaan teknologi mekanisasi agar kita dapat hasilkan lebih banyak makanan walaupun dengan keluasan tanah yang terhad,” jelasnya.
Selain padi, kerajaan negeri turut menggalakkan pengeluaran makanan alternatif seperti ubi kayu dan sagu sebagai langkah memperkukuh keselamatan makanan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Pada masa yang sama, pembangunan modal insan dalam sektor pertanian turut menjadi keutamaan melalui penubuhan Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Sarawak, yang dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi pertanian di Borneo.
“Ini adalah impian kita. Sekurang-kurangnya kita ada institusi yang boleh kita banggakan. Dari sini, kita boleh rancang keperluan sebenar negeri dalam sektor pertanian,” ujarnya.
Beliau berharap UPM Sarawak akan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik ilmu pertanian moden, malah mampu menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan dan keusahawanan berdaya saing.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Setiausaha M-FICORD, Datu Sirai Daha, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat serta tetamu kehormat lain. -UKAS