SAPE sejenis alat muzik yang amat sinonim dengan masyarakat Kayan dan Kenyah di Sarawak. Emang Wan, 66, dari Uma Bawang, Baram antara pembuat sape yang tidak asing lagi di kalangan penggemar alat muzik tradisional sape.
Berbekalkan kemahiran pertukangan dan seni, beliau memberanikan diri untuk cuba menghasilkan sape.
“Idea membuat sape ini tercetus apabila memikirkan perancangan tentang apa yang saya mahu lakukan apabila tidak bekerja lagi dan apa yang boleh dijual.
“Jadi, saya terfikir untuk membuat sape,” katanya yang sebelum ini bertukang membuat rumah.
Selain mahir membuat sape, Emang juga membuat kraf tangan lain termasuk terabai.
Katanya, semua hasil tangannya banyak dijual ketika menyertai pameran atau festival yang diadakan di sekitar Miri, Bintulu dan Kuching.
PROSES MEMBUAT SAPE
Pemilihan jenis kayu yang berkualiti untuk membuat sape juga perlu dititikberatkan kerana semakin berkualiti jenis kayunya, semakin merdu dan nyaring bunyi yang dihasilkan.
Sape berbentuk seakan-akan perahu. Bahagian permukaan depannya diratakan, sementara di bahagian belakangnya pula ditebuk lubang yang memanjang dan tidak terlalu dalam.
Emang berkata, proses membuat sape agak rumit terutamanya dalam pemilihan kayu bagi memastikan ia tahan lama dan dapat menghasilkan bunyi yang nyaring dan berkualiti.
Menurut beliau, selama lebih 10 tahun beliau membuat sape, terlalu banyak perkara yang telah dipelajarinya, terutamanya pemilihan kayu yang sesuai.
“Pilih kayu yang matang atau tua kerana ia dijamin kuat dan tahan lama, selain bunyi juga lebih nyaring serta sedap didengar apabila dipetik.
“Selain itu, masa dan musim yang sesuai untuk memotong atau menebang kayu juga dititikberatkan. Kalau buat dari kayu sebarang, kadang-kadang dalam tiga bulan ada anai-anai makan kayu itu. Kalau kita potong kayu itu ikut masa dan musim, sampai bepuluh-puluh tahun pun anai-anai tidak mahu makannya,” katanya.
Antara kayu sesuai membuat sape adalah kayu tapang, kayu medang dan merbau.
Menjelas lanjut, Emang berkata, proses seterusnya adalah membelah dua kayu yang dipilih menggunakan gergaji berantai untuk membentuk blok kayu yang sesuai dengan saiz satu Sape.
“Seterusnya proses menebuk untuk membuat bentuk badan dan bahagian kepala Sape. Selepas itu masa untuk mengukir pula badan Sape, ukiran seperti corak burung kenyalang, corak Orang Ulu atau apa sahaja yang sesuai keinginan,” katanya.
Proses terakhir membuat Sape ialah melekat ‘fret’ dan memasang talinya yang menggunakan tali pancing jenis ‘steel’.
Emang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat untuk menyiapkan satu Sape bergantung kepada saiz dan corak.
Harga satu Sape djualnya boleh mencecah lebih RM1,000 bergantung kepada kualiti kayu dan corak.
TIDAK LOKEK KONGSI ILMU
Adalah menjadi harapan Emang agar lebih ramai terutamanya generasi muda berkecimpung dalam pembuatan Sape agar tidak hilang ditelan kemodenan muzik pada masa kini.
Emang berkata, setakat ini tiada anak dan cucunya yang berminat membuat sape ,tetapi beliau tidak lokek memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat datang ke rumahnya mempelajari seni tangan ini.
Menurut beliau, sebelum ini beliau pernah mengajar seorang pelajar universiti membuat alat muzik itu.
“Saya tidak minta dia bayar apa-apa,cukuplah dia tolong saya memperkenalkan sape yang dihasilkan oleh saya dan bawa orang datang membelinya.
“Inilah salah satu usaha saya untuk memperkenalkan dan mengekalkan alat muzik tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman,” ujar Emang yang juga mahir memetik alat muzik sape itu.