
Letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki.
JAKARTA: Puluhan penerbangan menuju dan dari Bali terpaksa dibatalkan semalam, susulan letusan gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan abu setinggi 10 kilometer (km) ke udara.
Gunung Lewotobi Laki-Laki, gunung berapi setinggi 1,584 meter (m) di pulau pelancongan Flores, meletus pada Selasa dengan pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat.
Disebabkan aktiviti gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Nusa Tenggara Timur, beberapa penerbangan di Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai, dibatalkan,” kata pengendali lapangan terbang Angkasa Pura Indonesia dalam kenyataan kepada AFP.
Antara syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan adalah Jetstar dan Virgin Australia ke beberapa bandar utama Australia, manakala Air India, Air New Zealand, Tigerair dari Singapura serta Juneyao Airlines dari China turut membatalkan penerbangan masing-masing, menurut laman web rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Bali.
Jetstar dalam kenyataannya semalam memaklumkan, beberapa penerbangan ke dan dari Bali terpaksa dibatalkan, manakala penerbangan waktu petang ditangguhkan sehingga keadaan disahkan selamat.
“Unjuran semasa menunjukkan awan abu dijangka beransur reda menjelang malam ini.
“Oleh itu, beberapa penerbangan petang ditangguhkan untuk (pesawat yang) berlepas kemudian,” katanya.
Beberapa penerbangan domestik AirAsia ke Labuan Bajo di Flores – antara destinasi pelancongan popular – turut dibatalkan.
Wakil khidmat pelanggan lapangan terbang Bali memberitahu AFP, operasi lapangan terbang masih berjalan seperti biasa meskipun beberapa penerbangan dibatalkan.
“Ia bergantung kepada laluan dan syarikat penerbangan,” katanya yang enggan dikenali.
Sementara itu, agensi mitigasi bencana Indonesia memaklumkan hujan abu melanda beberapa kampung berhampiran Gunung Lewotobi Laki-Laki dan menyebabkan sekurang-kurangnya penduduka sebuah kampung dipindahkan lewat malam Selasa.
Gegaran juga masih direkodkan, menandakan aktiviti gunung berapi itu masih belum reda.
Agensi geologi negara menasihatkan penduduk dan pelancong supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius tujuh km dari kawah gunung berapi berkenaan.
Mereka turut memberi amaran mengenai potensi banjir lahar berbahaya membawa aliran lumpur atau serpihan dari bahan gunung berapi, jika hujan lebat, terutama di kawasan berhampiran sungai.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kehilangan nyawa.
Terdahulu, pada November lalu, gunung berapi sama meletus beberapa kali, meragut sembilan nyawa, membatalkan puluhan penerbangan antarabangsa ke Bali serta memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Gunung Lewotobi Laki-Laki yang membawa maksud lelaki dalam bahasa Indonesia, mempunyai ‘kembar’ yang lebih tenang dan dinamakan sempena perkataan wanita.
Indonesia yang terdiri daripada ribuan pulau, sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik. – AFP