
SARIKEI: Sukan merupakan salah satu komponen penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, ia bukan sahaja mencorakkan gaya hidup sihat, bahkan memperkukuh nilai murni seperti disiplin, daya saing dan kepimpinan.
“Sejak dahulu lagi, sukan telah menjadi jambatan yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
“Oleh itu, saya menggesa agar kejohanan ini dijadikan sebagai satu pentas untuk kita mencungkil bakat baharu, serta memperkukuh hubungan sesama warga sekolah, khususnya antara atlet, guru dan pihak pengurusan.
“Kepada para atlet, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk menunjukkan semangat kesukanan, daya juang dan potensi diri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Pemanca Chan Phan Chan di majlis perasmian Kejohanan Olahraga MSSB Sarikei Kali Ke-50 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh bertempat di Kompleks Sukan Sarikei, semalam.
Katanya, kejohanan tersebut adalah medan terbaik untuk mengukur keupayaan dan membentuk kepercayaan diri atlet dalam menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.
Tiong Sii turut menyumbangkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk kejohanan tersebut.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung dan Pengetua SMK Sungai Paoh, Anna Su Siew Ling.
Oleh Earl Anek