Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Perkeso: Caruman kecil, perlindungan besar
  • SEMASA

Perkeso: Caruman kecil, perlindungan besar

Utusan Sarawak 13 hours ago

KUALA LUMPUR:  Malang tidak berbau, dan dalam dunia yang semakin mencabar sekarang perlindungan insurans bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan yang kian kritikal bagi setiap keluarga.

Tanpa perlindungan insurans, sesebuah keluarga atau individu akan berdepan tekanan kewangan sekiranya berlaku musibah, khususnya melibatkan kesihatan ataupun harta benda.

Di Malaysia, selain perlindungan insurans yang ditawarkan oleh sektor swasta – lazimnya melibatkan komitmen bulanan tinggi – rakyat boleh mendapatkan perlindungan sama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).  

Perkeso sebuah agensi yang menyediakan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan pekerja, dengan caruman rendah namun meliputi pelbagai manfaat termasuk pampasan kemalangan, rawatan perubatan, elaun hilang upaya malah untuk mereka yang hilang pekerjaan.

 Pertubuhan itu bukan sahaja berperanan sebagai pembayar faedah kepada pencarum, tetapi juga agensi pembangunan sosial  yang aktif dalam program pemulihan, latihan semula dan kebolehpasaran pekerja.

Dalam landskap pekerjaan yang berubah, Perkeso ketika ini dilihat terus memperkasa peranannya menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

BERBEZA

Berkongsi pandangan, Pengarah (Interim) Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di Universiti INCEIF  Mohd Zaidi Md Zabri berkata masyarakat perlu melihat caruman  Perkeso sebagai satu keperluan.

Beliau berkata sepertimana kepekaan rakyat untuk mendapatkan perlindungan daripada syarikat  insurans swasta, mereka juga harus mempunyai pandangan serupa terhadap kemampuan Perkeso dalam memberikan perlindungan itu.

“Secara asasnya, Perkeso dan insurans swasta wujud untuk memberikan perlindungan kewangan kepada individu dalam situasi luar jangka seperti kemalangan, kematian ataupun penyakit. Namun, pendekatan kedua-duanya berbeza secara fundamental.

“Perkeso merupakan skim perlindungan sosial yang disediakan oleh kerajaan dan bersifat mandatori untuk kebanyakan pekerja. Pertubuhan ini tidak berorientasikan keuntungan dan menyediakan pelbagai faedah seperti pemulihan, hilang upaya serta bencana pekerjaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata insurans swasta pula bersifat komersial dan pilihan, selain turut beroperasi berdasarkan keuntungan dengan menawarkan pelan perlindungan berasaskan kadar bayaran premium oleh pencarum.

Oleh yang demikian,  manfaat insurans tersebut bergantung pada jenis polisi yang diambil, sedangkan Perkeso menawarkan pakej perlindungan menyeluruh kepada pencarum tanpa mengira latar belakang kewangan mereka.

Mohd Zaidi  berkata perlindungan Perkeso juga bersifat inklusif apabila perlindungan  turut diberikan kepada individu yang bekerja sendiri termasuk suri rumah dan pekerja ekonomi gig menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menerusi caruman itu, individu yang bekerja sendiri hanya perlu membayar RM70, iaitu 30 peratus daripada kadar caruman berjumlah RM 232.80, manakala baki 70 peratus lagi  (RM162.80) akan dibiayai oleh kerajaan.

Skim itu membolehkan golongan bekerja sendiri menikmati perlindungan keselamatan sosial pada kos yang sangat rendah, namun dengan faedah menyeluruh apabila berlaku kemalangan, keilatan atau kematian semasa menjalankan pekerjaan.

“Perlindungan yang ditawarkan (Perkeso) kepada golongan bekerja sendiri ini bukan sahaja mampu milik, malah lebih menyeluruh berbanding kebanyakan pelan insurans swasta yang mengenakan kos tinggi untuk perlindungan setara,” tambahnya.

Sejak diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, dilaporkan terdapat lebih 500,000 pencarum aktif dalam SKSPS setakat Mei 2024.

PRINSIP KEADILAN

Pandangan senada disuarakan oleh pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Faisol Ibrahim yang menyifatkan  caruman Perkeso itu  terletak pada prinsip keadilan, tanpa mengira latar belakang pencarum.

Sistem caruman pertubuhan itu juga memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat setimpal, sekali gus mencerminkan konsep solidariti dan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau berkata situasi itu sangat berbeza dengan insurans swasta sedia ada di negara ini yang lebih cenderung kepada motif keuntungan dan penilaian risiko secara komersial.

“Sebagai contoh, mereka yang berisiko tinggi seperti individu yang lebih tua atau mempunyai sejarah penyakit akan dikenakan caruman (premium) lebih tinggi atau mungkin ditolak langsung oleh insurans swasta (tidak layak perlindungan insurans).

“Sebaliknya, Perkeso pula akan tetap memberi peluang perlindungan kepada semua pencarum tanpa diskriminasi selain perkhidmatan dan produknya  turut diterjemahkan menerusi prinsip perkongsian risiko, ukhuwah dan solidariti sosial,’’ katanya.

Beliau berkata hampir 54 tahun beroperasi, pertubuhan itu telah banyak melakukan pembaharuan bagi memenuhi matlamat mereka dengan cara membantu dan meringankan beban pencarum menerusi perlindungan sosial paling asas namun menyeluruh.

Katanya, sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia, Perkeso membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini mendapatkan perlindungan kecemasan apabila dijuji musibah dan kemalangan.

“Banyak pembaharuan demi pembaharuan dilakukan Perkeso yang kita boleh lihat sejak diasaskan pada 1971. Meskipun hanya membuat caruman kecil, manfaat yang diterima  masih lagi berbaloi berbanding caruman insurans atau takaful sedia ada di negara ini. 

“Pembaharuan itu merupakah langkah tepat kerana tuntutan atau manfaat yang diterima itu mampu memberikan sedikit kelegaaan kepada pencarum dalam meneruskan kelangsungan hidup terutamanya bagi mereka yang hilang pekerjaan dan OKU (Orang Kurang Upaya),” katanya.

KONSEP TAKAFUL

Mengulas lanjut, Mohd Faisol bagaimanapun berkata Perkeso perlu menilai semula pendekatan strategiknya dengan melihat isu perlindungan sosial bukan hanya dari sudut mikro tetapi juga perspektif makro apabila menyentuh realiti kehidupan rakyat.

Beliau berkata meskipun secara asasnya Perkeso berperanan sebagai institusi perlindungan berkonsepkan insurans sosial, sudah tiba masanya untuk organisasi itu melakukan perubahan yang lebih progresif dan dinamik.

Katanya, antara pendekatan strategik yang boleh diteroka ialah pengenalan produk dan perkhidmatan berasaskan takaful, seiring dengan prinsip syariah dan maqasid syariah.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja menjadikan Perkeso lebih inklusif dan responsif dalam memenuhi kehendak kelompok rakyat  yang berbeza, bahkan agensi itu berpotensi menjadi pemain baharu dalam industri takaful negara.

“Inisiatif ini boleh memberi pilihan kepada pencarum Islam untuk mendapatkan pelan perlindungan yang patuh syariah, sementara yang lain (bukan Islam) boleh kekal (memilih takaful) atau memilih model konvesional

“Apa yang penting ia juga memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam menyediakan perlindungan sosial kepada umat Islam, selaras dengan prinsip tanggungjawab sosial dalam (agama) Islam,’’ tambahnya.

Selain itu, Mohd Faisol berkata perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia, turut membuka peluang luas kepada Perkeso untuk memaksimumkan pelaburan patuh syariah, sekali gus memanfaatkan ekosistem tersebut bagi merancang stategi pelaburannya.

Menurutnya, pelaburan dalam instrumen kewangan Islam termasuk hartanah patuh syariah  boleh menjana pulangan lebih stabil dan seterusnya meningkatkan dana pertubuhan itu sendiri.

Wujudnya peningkatan dana dan pengurusan yang lebih cekap, maka kadar faedah, pampasan serta bantuan kepada pencarum akan dapat ditambah baik pada masa depan.

“Konsep ‘menginsuranskan rakyat’  wajar dikembangkan kepada misi yang lebih luas iaitu ‘mensejahterakan rakyat’. Menerusi usaha itu,  Perkeso tidak hanya fokus pada faedah selepas kemalangan atau musibah, sebaliknya turut memastikan kesejahteraan  jangka panjang buat pencarum.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan Perkeso terus relevan, malah kekal utuh serta lebih proaktif dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara total,’’ katanya.

MUDAHKAN PROSES TUNTUTAN

Dalam pada itu, Mohd Faisol turut menyeru supaya Perkeso mempermudah proses tuntutan yang dibuat oleh pencarum, sekali gus menyegerakan kelulusannya.

Beliau berkata meskipun ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, pertubuhan itu boleh melakukan penambahbaikan bagi memudahkan pencarum mendapatkan bantuan ketika berada dalam kesulitan.

Katanya, proses tuntutan yang mudah mampu menggalakkan lebih ramai individu, terutamanya mereka yang bekerja sendiri, untuk mencarum dengan agensi itu demi keselamatan sosial masing-masing.

“Dalam sesetengah kes, kemungkinan tuntutan ditolak kerana pelbagai faktor termasuk maklumat tidak lengkap, majikan gagal mencarum atau terdapat percanggahan dalam laporan perubatan.

“Keadaan ini pastinya akan menjejaskan pencarum terutamanya mereka yang berada dalam kondisi kesihatan kurang baik atau kehilangan pekerjaan. Oleh itu, perlu ada keperluan untuk tambah baik sistem agar proses tuntutan  cekap, telus dan mesra pengguna,’’ katanya.

Sementara itu, seorang pencarum yang mahu dikenali Wati, 45, mengakui terdapat rungutan berkaitan kesukaran membuat tuntutan, antaranya proses dokumentasi yang rumit, sukar mendapatkan dokumen sokongan dan tempoh menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita boleh tengok terutamanya di media sosial, mereka meluahkan keluh-kesah apabila permohonan mereka ditolak atau tidak diluluskan… kemungkinan kerana mereka ini tidak tahu atau tidak faham bagaimana mahu buat tuntutan, jadi Perkeso sendiri perlu kukuhkan komunikasi termasuk membuat hebahan secara kerap kepada masyarakat.

“Untuk saya sendiri, memang bersyukur apabila menerima pampasan akibat diberhentikan kerja pada 2023… walaupun ambil masa lama sedikit untuk lengkapkan borang, bagi saya berbaloi. Sekurang-kurangnya saya masih ada duit poket dalam tempoh tidak bekerja,” katanya yang pernah menerima elaun enam bulan gaji daripada Perkeso selepas diberhentikan oleh syarikat lama kerana pengecilan operasi. — Bernama

Continue Reading

Previous: Malaysia komited perluas kerjasama dengan Rusia, fokus tenaga boleh diperbaharui – TPM Fadillah
Next: Sarawak pacu usaha penyenaraian syarikat bumiputera melalui sasaran strategik SBB2035

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.