Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sarawak dalam semangat ‘Global South’
  • KOLUMNIS

Sarawak dalam semangat ‘Global South’

Utusan Sarawak 2 days ago

DALAM era pasca Persidangan Afrika Bandung 1955, persoalan pembangunan di negara-negara Global South tidak lagi terikat kepada kemerdekaan politik semata-mata, khususnya dalam dunia menghadapi abad ke-21.

Sebaliknya, cabaran kini melibatkan pencarian model pembangunan yang adil, inklusif dan lestari.

Sarawak sebagai sebuah wilayah di Malaysia menawarkan satu kajian kes penting mengenai bagaimana sesebuah wilayah subnasional boleh mencorakkan pembangunan berasaskan hak wilayah, keadilan sosial dan pengetahuan tempatan.

Berdasarkan situasi ini maka dibincangkan mengenai perubahan politik dan ekonomi di Sarawak selepas 2014  yang mencerminkan semangat baharu dalam gerakan Global South.

Era pasca-Bandung, peralihan misi Global South

Persidangan Bandung 1955 menekankan solidariti anti-kolonial, namun hari ini, Global South berdepan cabaran struktur pembangunan yang diwarisi dari pasca kolonialisme dan sistem ekonomi global yang tidak adil.

DARI kiri – Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundram, Profesor Fernando Aldaba dan Awang Azman Awang Pawi di Global South yang berlangsung di Jakarta.

Dalam konteks ini, Global South perlu membina model pembangunan yang bukan sahaja bebas daripada dominasi kuasa asing, malah berakar dari nilai tempatan.

Di sinilah Sarawak memainkan peranan sebagai contoh ‘pembangunan baharu’ yang mengambil kira sejarah kolonial, ketidakseimbangan kuasa persekutuan, serta keperluan untuk membangunkan model yang lebih adil kepada komuniti tempatan dan peribumi.

Transformasi politik Sarawak

Sarawak mengalami perubahan politik yang ketara selepas 2015 didorong oleh beberapa faktor seperti dominasi Barisan Nasional (BN) semakin lemah.

Sebelum ini, BN dilihat terlalu berpengaruh dan menguasai wacana nasional. Keputusan parti-parti komponen Sarawak meninggalkan BN dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencerminkan hasrat untuk menentukan masa depan  sendiri berdasarkan keperluan dan perubahan semasa.

Sebenarnya pengunduran orang kuat politik (strongman), iaitu Tun Mahathir Mohamad dan Tun Taib Mahmud juga membawa perubahan landskap politik negara dan negeri.

Pengakhiran era pemimpin kuat ini membuka ruang kepada amalan politik lebih demokratik dan desentralisasi kuasa. Aspek ini diperkuat lagi apabila pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membuka ruang kepada kebangkitan aktivisme dan kesedaran politik masyarakat sivil di Sarawak.

Seterusnya, keputusan PRU14 dan PRU15 menyaksikan tiada parti menang majoriti jelas di peringkat persekutuan.

PESERTA Global South daro pelbagai negara Asia dan Asia Tenggara.

GPS memanfaatkan kedudukan ini untuk menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak sumber asli dan berperanan sebagai penentu atau pelengkap (kingmaker) arus politik negara. 

Maka, ini meningkatkan politik etno nasionalisme yang menegaskan aspek kepentingan tuntutan suara dan hak kewilayahan yang selama ini kurang diberi perhatian.

Pembangunan kontekstual

Sebagaimana Global South yang menuntut pembangunan berteraskan keadilan dan inklusitiviti, Sarawak turut bergerak ke arah pembangunan yang lebih bersifat kepentingan tempatan.

Premier Sarawak misalnya selalu menegaskan bahawa sekiranya Sarawak maju, maka Malaysia juga akan maju.

Sebab itu, melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan dasar fiskal tersendiri, Sarawak mulai mengambil tempat dan kedudukan mahukan Sarawak lebih berdikari dan dominasi Petronas mula dicairkan.

Sebanarnya semangat ini sejajar dengan gerakan dekolonisasi ekonomi di Global South, seperti di Bolivia atau Venezuela.

Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi selain bahasa Melayu dan penubuhan Universiti Teknologi Sarawak menggambarkan usaha memperkasakan identiti tempatan dan gerakan mandiri.

Pembinaan jambatan-jambatan besar menghubungkan luar bandar, rancangan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching dengan anggaran kira-kira RM6 bilion dilaksanakan tanpa kebergantungan penuh kepada dana pusat, menggambarkan semangat pembangunan berdikari yang turut diamalkan di India dan Indonesia.

Menuju pembangunan baharu

Dalam konteks peluang dan potensi Sarawak kini sedang membina satu bentuk ‘pembangunan baharu’ yang menekankan aspek Autonomi Wilayah dan Federalisme Asimetrik yang menuntut pelaksanaan menyeluruh MA63, termasuk kuasa kawal selia sumber asli.

Penekanan mengenai ekonomi digital berasaskan konteks tempatan yang fokus kepada pendigitalan ekonomi bukan sekadar mengikut trend global, tetapi disesuaikan dengan keperluan tempatan dengan pengenalan kepada Sarawak Pay, dasar ekonomi digital, penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan sebagainya.

Tiga teras penting

Sarawak berjaya memberi pengajaran penting kepada wilayah-wilayah lain dalam konteks wacana dan semangat Global South, iaitu menegaskan kepentingan autonomi wilayah yang kuasa pembangunan tidak sekadar dikuasai oleh pusat.

Tetapi wilayah Sarawak perlu mempunyai kuasa menentukan hala tuju sendiri berdasarkan sejarah dan keperluan tempatan.

Yang kedua ialah pembangunan berasaskan keperluan budaya dan komuniti yang menyantuni struktur sosial dan nilai budaya setempat—bukan meniru model universal Barat tanpa penyesuaian.

Yang ketiga ialah Sarawak dilihat menggunakan model hibrid dan lestari yang ternyata gabungan antara teknologi, keadilan sosial dan kelestarian menjadi tunjang kepada pembangunan baharu.

Di sinilah melalui pendekatan pembangunan digital yang digabungkan dengan pemeliharaan identiti budaya, adalah contoh nyata pembangunan global disesuaikan keperluan tempatan.

Sarawak sedang berada di persimpangan penting dalam sejarahnya sebagai sebahagian daripada semangat Global South.

Keupayaannya untuk membentuk model pembangunan yang berasaskan keadilan sosial dan ekonomi, identiti, dan kelestarian menjadikannya contoh penting bagi wilayah lain dalam wacana dunia Selatan yang turut cuba mendapatkan hak yang termaktub tetapi belum diperoleh sepenuhnya dan sistem tidak seimbang.

Namun, untuk menjadi teladan sebenar, Sarawak perlu menangani cabaran sedia ada seperti ketidaksamaan pembangunan, pendemokrasian digital dan memperkasaan aspek keperluan keselamatan makanan (food security) agar rakyat Sarawak tidak bergantung kepada import luar dan harga makanan yang lebih berpatutan.

Rumusan

Maka, semangat Global South bukan sekadar menolak model pembangunan lama, tetapi membina kerangka baharu berasaskan suara sendiri yang banyak memberikan manfaat kepada rakyat biasa.

Dalam konteks ini, Sarawak sedang merintis jalan ke arah tersebut untuk menjadi model kepada pembangunan baharu yang lebih inklusif, dan tidak sekadar mengulang sejarah di bawah wajah yang baharu.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: JENDELA MASA
Next: Jalan raya semakin elok, kemalangan pula kerap berlaku

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.