Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Nuansa Moral dalam Kuih Bongkol Tirai Besi
  • WBS

Nuansa Moral dalam Kuih Bongkol Tirai Besi

Utusan Sarawak 22 hours ago

SENYUMAN yang kosong dan mata yang lesu, pada hakikatnya tersembunyi jiwa yang dirantai oleh kebergantungan yang membunuh perlahan-lahan, iaitu najis dadah. Para penagih bukan sekadar insan yang tersilap langkah tetapi disinggahi roh dan jiwa yang tandus cahaya harapannya akibat godaan ketagihan.

Ketagihan terhadap dadah menjalar seperti racun yang menyelinap bagai api dalam sekam sehingga meranap dan menghancurkan kasih sayang yang dibina bertahun, ibu bapa ditawan kesedihan, gejala sosial bermaharajalela, penggadaian maruah, keganasan dan permusuhan demi menampung ketagihan yang tidak kenal batas belas kasihan. Ketagihan dadah merampas kewarasan, senyuman menjadi mati dan palsu, melumpuhkan jiwa, melusuhkan nilai keinsanan sehingga diri sendiri menjadi asing.

Hakikatnya, inilah yang disuarakan oleh Nabillah Bolhassan dalam cerpen “Kuih Bongkol Tirai Besi” (KBTB). Nabillah bukan hanya menonjolkan isu penagihan dadah malah di sebaliknya beliau memperlihatkan usaha untuk mengangkat makanan tradisi di Sarawak, iaitu kuih bongkol menerusi watak Faiz.

Dalam hal ini, Nabillah telah mengekspresikan daya kreativiti yang tinggi kerana berupaya mempromosikan kuih tradisional agar lestari sebagai warisan budaya Melayu di Bumi Kenyalang menerusi manuskrip ini. Buah tangan Nabillah seperti klise dan sudah biasa kita baca, dengar dan tonton menerusi pelbagai media dewasa ini.

Walau bagaimanapun, tindakan Nabillah harus mendapat sanjungan kerana KBTB memperlihatkan kepekaan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial seorang penulis untuk menyuarakan kekesalan, kemanusiaan, pengajaran dan mesej moral kepada khalayak tentang kebinasaan dan kemusnahan yang dibawa oleh najis dadah.

Nabillah mengangkat isu nasional dan sarwajagat. Ternyata, perkara inilah yang menjelmakan kekuatan dan keistimewaan KBTB yang bermula dengan kekacauan namun berakhir dengan harapan. Nabillah memberikan nafas baharu dan menghidupkan semula jiwa dan rohani watak Faiz yang sudah luntur keinsanan dan kerohaniannya akibat dibelenggu najis dadah.

Nabillah tidak kejam dalam memperagakan watak Faiz, sebaliknya memberikan peluang kedua yang sewajarnya dilakukan oleh setiap penulis yang menyuarakan kemanusiaan.

Tindakan ini persis penegasan Jong Chian Lai (2006) bahawa manusia penulis ialah “kuasa besar” dan “ikon kemanusiaan baharu” yang membisikkan nafas dan pejuang keamanan yang mentafsirkan kemanusiaan dengan mata hati.

Justeru, tindakan dan usaha Nabillah dalam memperagakan tema keinsafan setelah menempuh gerhana dalam KBTB wajar mendapat sanjungan. Seseorang penulis sememangnya berperanan besar dalam memperkasakan minda dan menyedarkan masyarakat tentang isu dadah yang tidak pernah tamat. Naskhah-naskhah sebeginilah yang wajar disogokkan kepada khalayak, khususnya generasi muda agar mereka tidak alpa dan lalai dengan godaan dunia.

KBTB yang dinaratif menerusi aliran realisme di tangan Nabillah amat sarat dengan mesej moral yang dapat diteliti menerusi Pendekatan Moral kerana berupaya mengupas isu, mesej dan motif moral selain nilai karya.

Atar Semi (1984) menyimpulkan bahawa Pendekatan Moral didasari pemikiran yang beranggapan bahawa sesebuah karya sastera itu merupakan medium yang dapat memberi kesan mendalam terhadap pembentukan keperibadian dan moral sesebuah masyarakat.

Sementara Hashim Awang (2002) menyifatkan Pendekatan Moral sebagai pengalaman yang dilalui setiap manusia dan setiap ilmu yang diperoleh dalam kehidupan, yang memberikan sama ada impak positif mahupun negatif kepada mereka.

Oleh itu, karya sastera sebagai medium yang bersifat pengalaman manusia mampu berfungsi dengan signifikan untuk memberikan pengajaran kepada khalayak supaya mereka menjadikan yang baik sebagai suri teladan, sementara yang buruk sebagai sempadan.

Dalam konteks kritikan sastera, pembaca dan pengkritik memahami, turut merasakan, lalu mengkaji pelbagai ragam perlakuan serta kehidupan manusia yang tergambar dalam karya. Di sini terpancarlah pelbagai persoalan moral yang dapat diterokai.

Bagi maksud ini, Pendekatan Moral dapat memenuhi sifat kesusasteraan Melayu yang berteraskan kebajikan dan ketakwaan, iaitu sastera dapat menelurkan pelbagai pengetahuan, panduan dan nasihat ke arah kebaikan.

Pendekatan Moral merungkai mesej, motif dan nilai karya menerusi isu dan agenda moral yang dikemukakan oleh pengarang. Sara Beden (2021) menegaskan bahawa aspek moral merupakan pendidikan atau pengajaran yang hendak disampaikan melalui karya berdasarkan peristiwa-peristiwa dan perwatakan watak-watak dengan mencaknakan unsur didaktiknya.

Rentetan itu, pengalaman yang berkaitan dengan moral dapat diamati dan diteliti menerusi tindak-tanduk dan perlakuan watak-watak yang diperagakan oleh pengarangnya dalam menggerakkan plot cerita yang berupaya mencitrakan tema dan pemikiran karya.

KBTB memperlihatkan plot kronologi yang diaksikan oleh watak Faiz, Nek Milah, Kamal dan Maya (jiran Nek Milah), Tuan Azmin (pegawai penjara), Puan Aini, pegawai wanita dan watak Azman yang mewakili banduan di penjara.

Walaupun plotnya bergerak dengan pantas sebab pembaca terus dikisahkan dengan watak Faiz yang sudah ketagihan, ibarat bangkai hidup, namun alur ceritanya bersifat kronologis. Nabillah tidak mengisahkan punca Faiz terjebak dalam kancah najis dadah.

Kenapa tidak diceritakan punca Faiz terjebak? Kenapa kisahnya terus kepada keganasan dan kebiadaban watak Faiz yang dalam situasi terdesak kepada Nek Milah ketika meminta wang untuk membeli najis dadah? 

Sebenarnya, pengarang hendak mengheret khalayak berfikir dan menebak sendiri puncanya. Nabillah memiliki motif tersendiri dalam menyampaikan pemikiran perjuangan melawan ketagihan dan menyiratkan tema keinsafan menerusi watak Faiz sekali gus menyampaikan mesej moral kepada khalayak.

Mesej moral utama yang menjadi aspirasi beliau ialah peluang kedua atau harapan  wajar diberikan kepada mangsa dadah setelah kehidupan mereka diambang kehancuran dan kemusnahan.

Justeru, Nabillah mewujudkan isu dan konflik Nek Milah dan Faiz sehingga mengheret Faiz ke penjara. Sebab akibat dalam plot KBTB mengembangkan kisah peluang kedua yang diberikan kepada watak Faiz. Oleh itu, Nabillah cenderung menonjolkan kisah keinsafan dan kebangkitan watak Faiz setelah dimasukkan ke penjara kerana mencederakan Nek Milah.

Faiz menunjukkan keinsafan setelah lapan bulan di penjara dan meminta ampun kepada Nek Milah yang datang melawatnya.  Nek Milah amat bersyukur kerana perubahan Faiz. Faiz lebih kemas dan terurus. Penjara menjadikan Faiz manusia yang berguna.

Faiz mengikuti kelas agama, jahitan, pertanian dan memasak semasa di penjara. Pengisian yang sebeginilah yang berupaya mengubah penagih agar menjadi insan yang boleh berbakti dan memberikan sumbangan.

Nabillah tidak membiarkan Faiz hanyut dalam gelodak najis dadah sebaliknya sahsiah dan akhlak Faiz disuburkan semasa  di penjara. Berdasarkan pengamatan, didapati Nabillah menyelitkan fungsi penjara yang berupaya memanusiakan manusia.

Bermakna penjara bukan hanya berfungsi sebagai tempat tahanan yang melambangkan insan-insan bersalah, malahan melangkaui fungsi itu, kerana membantu  mengubah seseorang manusia daripada kejahilan dan kejumudan kepada insan yang berguna.

 Dalam memberikan peluang kedua kepada watak Faiz, dia dilantik sebagai ketua kelas memasak oleh Tuan Azmin kerana kebolehannya membuat kuih bongkol, berkat selalu membantu Nek Milah berniaga.

Nabillah menghadirkan watak Tuan Azmin (sekampung dan mengenali Nek Milah) agar Faiz dapat bangkit dan menyerlahkan kebolehannya. Dalam konteks inilah, khalayak dapat mengamati kelicikan dan kekuatan Nabillah dalam mempromosikan kuih tradisional Sarawak.

Nek Milah menjadi ikon dalam membuat kuih bongkol dan diwarisi cucunya, Faiz. Kenapa pengarang memilih kuih bongkol dan tidak kuih lain? Kenapa tidak kek lapis Sarawak yang masih tular sehingga kini? Kuih bongkol merupakan hidangan tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang begitu popular pada musim perayaan, khususnya pada bulan Ramadan.

Kuih ini terkenal dengan rasanya enak dan manis, serta teksturnya yang lembut. Watak Faiz diperagakan dengan kemahiran membuat kuih bongkol sehingga berjaya merincikan setiap langkah daripada mengadun, membungkus sehinggalah mengukus kuih tersebut. 

Dalam konteks inilah, Nabillah menonjolkan kesenian dalam membuat kuih bongkol menerusi watak Faiz. Cara adunan, sukatan bancuhan dan proses membungkus serta mengukus menunjukkan nilai seni tersendiri sebagaimana yang direalisasikan oleh watak Faiz ketika mengajar banduan lain di penjara.

Kesenian inilah yang “mahal” dan berharga. Ketelitian amat penting dalam seni membuat kuih bongkol kerana jika tersilap langkah, mungkin kuih ini tidak menjadi dengan sempurna.

Paparan watak Faiz yang menjadi ketua untuk memasak dan mengajar para banduan di penjara bukan sahaja memberikan perubahan besar dan meningkatkan keyakinan dirinya, namun turut berfungsi sebagai duta yang mempopularkan kuih tradisi ini.

Nabillah menunjukkan usaha yang murni dengan memberikan peluang kedua kepada Faiz untuk bangkit semula membina kehidupannya. Jika disorot, puncak kebolehan dan kemahiran Faiz dalam membuat kuih ini menjadi lebih bermakna apabila kuihnya menjadi produk yang dijual semasa karnival penjara dan ramai yang memuji keenakan kuih tersebut termasuklah Pn. Aini dan Tuan Azmin.

Tuan Azmin mencadangkan agar Faiz  mengambil alih penjualan kuih bongkol Nek Milah setelah keluar dari penjara. Cadangan ini membuktikan bahawa watak Faiz (watak hero yang dinamik) telah mengalami perubahan yang ketara sehingga mendapat kepercayaan daripada Tuan Azmin. Tidak mustahil remaja yang senasib dengan Faiz turut terkesan dengan transformasi watak Faiz dalam KBTB.

            Seterusnya, khalayak juga disogokkan dengan mesej moral tentang kepentingan pembentukan dinding keimanan dan akhlak yang mulia dalam kalangan generasi remaja. Mesej ini disorot menerusi isu keruntuhan akhlak watak Faiz.

Watak Faiz sememangnya lambang remaja yang keruntuhan akhlak dan terjebak dalam kancah najis dadah. Akibat rasukan dadah, Faiz hampir membunuh Nek Milah  yang telah menjaga dan memberikan kasih sayang kepadanya setelah kematian ibu bapanya. Kasih sayang Faiz kepada Nek Milah sirna akibat dadah.

Fizikalnya berserabut ibarat bangkai hidup. Faiz menjadi pencuri dan kurang ajar.  Kebiadaban dan sikap kurang ajar Faiz mengejutkan Nek Milah. Kemuncaknya, Faiz menolak Nek Milah sehingga kepalanya terhantuk dan berdarah serta pengsan.

 Hakikatnya, Nabillah dalam KBTB hendak memperlihatkan impak negatif dan bahaya penagihan dadah. Faiz hilang kewarasan dan pertimbangan sehingga sanggup mencederakan neneknya. Dadah bukan sahaja merosakkan diri sendiri tetapi juga menghancurkan keharmonian dan kasih sayang yang terbina dalam keluarga.

Justeru, dinding keimanan dan akhlak yang mulia harus disemai dan dipasakkan agar menjadi sendi bagi mengukuhkan dinding keimanan dan “kecantikan” akhlak generasi muda. Siapakah yang bersalah apabila Faiz terjebak dalam najis dadah? Adakah Nek Milah?

Adakah kerosakan akhlak dan kenipisan iman Faiz yang menyebabkannya terjebak dengan najis dadah? Adakah kekecewaan akibat kehilangan ayah dan ibunya? Adakah pengaruh rakan? Semuanya ada kemungkinan dan kebarangkaliannya.

Oleh itu, pendidikan agama amat signifikan kerana dapat membentuk moral dan akhlak yang murni selain menjadikan seseorang berdisiplin, bertanggungjawab, beriman dan beretika.

Ghozali dan Kamri (2015)  menegaskan bahawa akhlak yang baik adalah antara ciri personaliti Islam yang memberikan kesan positif.  Ibu bapa,  keluarga, guru, institusi agama, pihak-pihak berkepentingan dan ahli masyarakat memainkan peranan untuk menanamkan kefahaman tentang halal haram, dosa pahala, baik buruk dan tanggungjawab kepada Tuhan, agama dan negara agar dinding keimanan dan akhlak menjadi kukuh.

Harjoni Desky dan Syamsul Rijal (2021) menyifatkan bahawa perilaku yang dimainkan oleh individu ataupun kelompok itu berkaitan dengan sistem keyakinan daripada ajaran agama yang dianutnya. Mesej kepentingan didikan agama bagi mengukuh dinding keimanan inilah yang disuarakan oleh Nabillah dalam KBTB melalui watak Faiz dalam cerita ini.

 KBTB juga menyiratkan mesej moral berkaitan tanggungjawab sosial menerusi perlakuan dan tindakan watak yang bersifat positif. Jamal dan Maya, iaitu jiran Nek Milah merupakan suami isteri yang bertanggungjawab, prihatin dan  baik  selain murah hati.

Kebaikan hati kedua-dua suami isteri tersebut menyerlah apabila Maya menganggap Nek Milah seperti neneknya sendiri. Kedua-dua watak ini menjadi simbol kewujudan insan-insan positif dan menjalankan tanggungjawab social kepada jiran. 

Nabillah secara sedar menghadirkan insan-insan berhati mulia bagi menyeimbangkan kekejaman watak Faiz terhadap Nek Milah. Apabila kita prihatin dan saling membantu sesama jiran, suasana kejiranan menjadi lebih aman, bebas daripada konflik dan permusuhan.

Dalam Islam dan agama lain, membantu jiran merupakan kewajipan dan tanda keimanan. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak beriman seseorang itu jika dia kenyang sedangkan jirannya kelaparan,” yang dapat diasosiasikan dengan kata-kata watak Maya bahawa dia dan Nek milah merupakan saudara seagama dan membantu Nek Milah merupakan tanggungjawabnya.

Tanggungjawab sosial  juga mencerminkan nilai moral sejagat seperti kasih sayang, empati dan belas ihsan selain  mengukuhkan hubungan silaturrahim. Watak Jamal dan Maya telah menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan membantu memanggil ambulans dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Apakah yang berlaku kepada nasib Nek Milah jika kedua-dua suami isteri tersebut tidak bertandang tepat masa kejadian? Kemungkinan Faiz melarikan diri dan membiarkan Nek Milah pengsan. Mungkin Nek Milah akan mati kerana tiada bantuan.

Nabillah ada motifnya, iaitu untuk menyerlahkan mesej tanggungjawab ini. Tanggungjawab sosial menjadikan kita lebih peka terhadap keperluan dan masalah jiran seperti kesakitan, kematian atau kesusahan kewangan.

Impaknya, kita dapat membina masyarakat penyayang dan tidak mementingkan diri serta berupaya mewujudkan persekitaran sosial yang harmoni dan  stabil. Semoga insan-insan mulia seperti Maya dan Jamal terus wujud di muka bumi ini.

Nabillah dalam KBTB turut menyuguhkan nilai karya yang tinggi berdasarkan Pendekatan Moral. Hal ini dikatakan demikian kerana karya ini mengutarakan nilai moral yang penting kepada bangsa dan negara.

Dua isu yang menjadi agenda negara menyerlah dalam  KBTB, iaitu isu penagihan dadah melalui ketagihan watak Faiz dan usaha mengangkat serta mempopularkan kuih tradisional.

Dadah menjadi ancaman serius kepada keselamatan negara dan sindiket dadah sering terlibat dalam jenayah terancang, penyeludupan dan rasuah yang boleh menggugat ketenteraman awam. Kegiatan ini juga melibatkan rangkaian antarabangsa yang sukar dibanteras tanpa kerjasama antara negara.

Dadah bukan sahaja merosakkan potensi dan masa depan generasi muda malahan menjejaskan pendidikan, kesihatan dan hubungan kekeluargaan sekali gus menjejaskan usaha untuk melahirkan modal insan yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.

Situasi ini melemahkan struktur masyarakat dan nilai-nilai murni yang menjadi tunjang perpaduan negara. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar dan undang-undang seperti Dasar Dadah Negara dan menubuhkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar  dapat membanteras ancaman  dadah demi masa depan yang lebih selamat dan sejahtera. Tersiratnya, karya sastera bukan sekadar memenuhi tuntutan minda khalayak, namun menyemai kepekaan tentang isu berkenaan.

Usaha mempopularkan kuih tradisional dalam KBTB oleh Nabillah juga merupakan agenda penting bagi melestarikan warisan budaya tempatan dan  negara. Kekreatifan Nabillah menyerlah kerana menonjolkan agenda ini menerusi fungsi penjara.

Penjara menjadi medan untuk Faiz menunjukkan kemahirannya membuat kuih bongkol. Dalam era globalisasi,  budaya serta tradisi tempatan berdepan ancaman kepupusan, termasuk dalam aspek makanan warisan seperti kuih tradisional.

Ancaman daripada pengaruh makanan segera dan makanan dari Barat telah mengurangkan minat generasi muda terhadap kuih tradisional. Oleh itu, usaha mempopularkan kuih tradisional adalah sangat penting demi memelihara nilai budaya, menjamin kesinambungan warisan dan memperkukuh ekonomi serta imej negara pada peringkat glokal dan global.

Setiap kuih mempunyai latar belakang sejarah, kaedah penyediaan dan nilai simbolik yang tersendiri mengikut kaum dan etnik. Kuih bongkol merupakan simbolik kesenian dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak sejak turun-temurun sebagaimana yang dirakamkan pembuatannya menerusi watak Faiz dan Nek Milah.

Sekiranya usaha untuk mempopularkan kuih tradisional tidak diberi keutamaan, maka generasi muda akan kehilangan hubungan dengan budaya nenek moyang mereka. Selain itu, kuih tradisional merupakan aset penting dalam memartabatkan identiti nasional pada peringkat antarabangsa.

Pemerkasaan promosi kuih tradisional dari dimensi ekonomi dapat membuka ruang kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) agar lebih ramai usahawan tempatan, terutamanya golongan wanita dan suri rumah melibatkan diri dalam perusahaan kuih tradisional untuk menjana pendapatan.

Kuih tradisional bukan sekadar makanan, tetapi lambang sejarah, kreativiti dan kesatuan rakyat Malaysia yang wajar dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Kesimpulannya, KBTB sebagai karya sastera memanifestasikan fungsi yang amat baik dalam menyampaikan mesej moral dan nilai karya kepada khalayak menerusi isu dadah selain mempromosikan warisan budaya tradisi.

Motif Nabillah amat jelas, iaitu untuk mengheret khalayak agar memainkan peranan dan memiliki tanggungjawab serta kesedaran. Sebagai ahli masyarakat, kita tidak boleh terus memalingkan muka, membiarkan mereka terus hanyut dalam najis dadah tanpa menghulurkan pelampung harapan.

Keluarga, masyarakat, negara dan semua pihak harus berganding bahu bukan sahaja untuk menyelamatkan mereka tetapi menyelamatkan nilai kemanusiaan dan keinsanan itu sendiri.

Ringkasnya, kisah dalam KBTB ibarat lentera yang menyorot kebenaran kejadian di sekeliling kita, selain menyalurkan keinsafan bahawa mereka yang telah jauh tersasar, masih ada harapan serta berpeluang untuk bangkit dan melangkah semula demi kelangsungan hidup.

Oleh Sara Beden

Continue Reading

Previous: Menguasai Diksi Mengawal Emosi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.