
MIRI: Seramai 67 warga Miri telah menerima sijil pengiktirafan sebagai Bumiputera Sarawak. Sijil pengiktirafan itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala pada satu majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Residen Miri hari ini.
Gerawat Gala yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu dalam hantaran di Facebooknya berkata, majlis ini bukan sahaja satu simbol pengiktirafan, tetapi juga lambang pengukuhan identiti dan hak sebagai anak jati negeri ini.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja membawa makna dari segi status, malah membuka lebih banyak ruang dan peluang, terutamanya dalam bidang keusahawanan serta akses kepada pelbagai kemudahan dan bantuan yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera,” katanya.
Gerawat berkata, kerajaan Sarawak komited untuk memastikan tiada rakyatnya tertinggal dalam arus pembangunan.
“Maka, usaha memperkukuh identiti dan kedudukan Bumiputera Sarawak ini adalah sebahagian daripada langkah berterusan untuk memastikan keadilan, kesaksamaan dan kemajuan bersama.
“Saya menggesa agar semua penerima memanfaatkan pengiktirafan ini sebaik mungkin.
“Jadikan ia sebagai dorongan untuk terus maju, membina perniagaan, membangunkan komuniti, dan menyumbang semula kepada Sarawak tercinta,” ujarnya.
Menurut beliau, untuk Bahagian Miri, sebanyak 466 permohonan secara manual melalui Pejabat Daerah telah diterima dari tempoh November 2023 sehingga September 2024.
Katanya, Pejabat Daerah miri telah menerima 424 permohonan, Pejabat Daerah Marudi lapan permohonan dan Pejabat Daerah Subis sebanyak 12 permohonan. Manakala, Daerah Beluru 17 permohonan dan Telang Usan lima permohonan.
“Setakat ini sebanyak 229 kelulusan dari Bahagian Miri telah diluluskan dan di keluarkan sijil. Marudi pula sebanyak enam kelulusan, Subis tiga kelulusan dan Beluru sebanyak 14 kelulusan,” katanya.
Beliau menambah, bagi warganegara yang ingin memohon, pemohon mestilah warganegara Malaysia.
Selain itu, permohon juga merupakan anak kandung kepada salah seorang Bumiputera Sarawak dan salah seorang ibu bapa kandungnya mestilah Bumiputera Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling