

KUCHING: Dua penilai terkemuka dan dihormati dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan menjalankan misi penilaian di lapangan bagi Geopark Delta Sarawak dari 23 hingga 26 Jun ini.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jean-Simon Pagès dari Perancis dan Antonio Garcia Jiménez dari Sepanyol akan menjalankan penilaian itu yang akan menjadi langkah terakhir serta paling penting dalam perjalanan untuk memperoleh pengiktirafan bagi menobatkan Delta Sarawak sebagai Geopark Global UNESCO.
“Kedua-dua penilai akan membawa bersama mereka pengalaman luas dalam penilaian dan pengurusan geopark manakala penemuan mereka akan menjadi faktor penting dalam menentukan sama ada Geopark Delta Sarawak memenuhi piawaian ketat antarabangsa yang diperlukan bagi penetapan rasmi oleh UNESCO,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang penilaian selama empat hari itu, kedua-dua pakar akan mengunjungi pelbagai lokasi penting di seluruh kawasan Delta Sarawak yang dipenuhi kekayaan geologi, biologi dan kepelbagaian budaya.
“Antara kawasan utama yang akan diterokai ialah Syis Tuang Semeba dan Paku Rock Maze di Bau, yang terkenal dengan ciri unik geologinya serta Rizab Alam Semula Jadi Gua Angin di Bau, yang menyerlahkan kepentingan geologi dan biologi,” katanya.
Misi penilaian juga akan meliputi Rizab Semula Jadi Semenggoh di Padawan, yang merupakan rumah kepada pelbagai flora dan fauna selain lawatan ke Muzium Budaya Borneo dan Kampung Budaya Sarawak yang berfungsi sebagai pusat penting bagi memelihara serta mempromosikan tradisi tempatan.
“Kedua-dua penilai juga akan ke Kampung Peros di Krokong, Bau iaitu contoh sebuah kampung geopark dan SMK Paku di Bau, sebuah sekolah geopark yang aktif dalam pendidikan dan kesedaran berkaitan geokonservasi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan misi penilaian tersebut adalah penting bukan sahaja bagi mendapat pengiktirafan UNESCO tetapi juga membuktikan komitmen Sarawak terhadap pembangunan lestari, geokonservasi, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
“Ia adalah peluang penting untuk memaparkan usaha rantau ini dalam memelihara warisan alam semula jadi dan budaya menerusi inisiatif geopark yang inklusif serta berpandangan jauh,” katanya.
Matlamat pembangunan mampan merangkumi kawasan seluas 3,112 kilometer persegi dan dicirikan oleh landskapnya yang menakjubkan, pembentukan geologi yang luar biasa dan kepelbagain budaya pribumi yang kaya.– BERNAMA