
KUCHING: Sebuah pameran seni seni rentas sempadan bertajuk Neighbours in Heart Friendship in Art bakal membuka tirai pada 20 Jun hingga 26 Jun ini di Muzium Budaya Borneo Kuching, menampilkan 99 karya lukisan hasil kreativiti 64 pelukis dari Sarawak dan Brunei Darussalam.
Pameran yang berlangsung sehingga 26 Jun ini merupakan hasil kerjasama rentas sempadan antara Persatuan Pelukis Sarawak dan para artis dari Brunei Darussalam, dengan sokongan Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) serta Jabatan Muzium Sarawak.
Sebanyak 45 pelukis dari Persatuan Pelukis Sarawak dan 18 pelukis dari Brunei akan mempamerkan hasil seni yang menggambarkan pelbagai aspek identiti budaya tradisi serta ekspresi kontemporari masyarakat Borneo.
Menurut kenyataan penganjur, pameran ini bukan sekadar platform pertukaran seni tetapi juga jambatan budaya yang memperkukuhkan hubungan baik antara dua komuniti serumpun. Ia turut menyokong diplomasi budaya dan merintis ruang dialog seni merentas sempadan.
Sepanjang pameran, pelbagai program sokongan akan diadakan termasuk demonstrasi seni dan sesi bual bicara yang dirangka untuk menarik minat khalayak umum khususnya golongan muda terhadap dunia seni visual.
Program berteraskan komuniti ini juga bertujuan memupuk minat dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap karya seni.
Objektif utama penganjuran adalah untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi budaya utama memperkayakan pengalaman pelawat menerusi penglibatan artistik yang menyeluruh serta memacu pertumbuhan ekonomi kreatif secara mampan.
Ia juga sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk meningkatkan visibiliti Sarawak di pentas global menerusi kerjasama kreatif berimpak tinggi.
Neighbours in Heart Friendship in Art turut menjadi langkah strategik ke arah penubuhan Galeri Seni Negeri Sarawak yang dicadangkan sebagai institusi tetap bagi memelihara membangunkan dan mempromosikan seni visual negeri ini.
“Kerjasama silang sempadan ini merupakan satu asas penting ke arah penubuhan Galeri Seni Negeri Sarawak sebagai hab pameran pendidikan penyelidikan dan pembangunan kreatif.
“Ia juga mampu menyokong bakat tempatan mendokumentasikan naratif budaya serta memperluas keterlibatan awam dalam bidang seni,” menurut kenyataan itu lagi.
Konsep utama pameran ini bertemakan Reflections of Sarawak yang mengetengahkan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Borneo melalui kaca mata para seniman. Lukisan yang dipamerkan menggambarkan landskap hutan flora fauna budaya dan kehidupan masyarakat yang menjadi cerminan kepada semangat dan jiwa bumi Borneo.
Penganjuran di Kuching juga menyuntik unsur moden dan tradisi yang bergandingan dalam pembangunan bandar raya ini sebagai lambang kemajuan sejajar dengan pemeliharaan sejarah dan budaya.
Pilihan tema Neighbours in Heart Friendship in Art jelas mencerminkan ikatan mendalam antara Brunei dan Sarawak bukan sahaja dari segi geografi tetapi juga sejarah sosial budaya dan seni.
Pameran ini terbuka kepada orang awam dan dijangka menjadi tumpuan peminat seni tempatan dan antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju seni dan budaya di rantau Borneo.