


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada Majlis APC Tahun 2024 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) hari ini. Foto BERNAMA
BANGI: Kepimpinan dan tadbir urus; prestasi dan pembangunan bakat; teknologi dan pendigitalan serta kesejahteraan dan penglibatan warga merupakan empat prinsip utama yang perlu menjadi pegangan seluruh warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata kepimpinan bukan hanya soal jawatan tetapi amanah dan tanggungjawab manakala setiap penjawat awam harus sentiasa diberi ruang untuk belajar serta berkembang.
“Teknologi penting supaya perkhidmatan kita lebih cekap dan mesra rakyat manakala kesejahteraan serta penglibatan warga akan membentuk pasukan yang saling menyokong demi menghasilkan kerja berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPWKM 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata KPWKM kini memainkan peranan penting dalam menjayakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, atau ARPA, yang bukan sahaja melibatkan sistem tetapi juga nilai dan cara kerja penjawat awam dalam membawa perubahan bermakna.
Nancy percaya kementerian itu mampu menghayati nilai HEMAT iaitu Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Tadbir Urus Telus dalam setiap tindakan.
“Kadangkala tindakan sekecil menjawab panggilan dengan sopan pun boleh memberi kesan besar kepada imej kementerian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan warga KPWKM supaya terus mengamalkan konsep tiga I iaitu Integriti, Ikhlas dan Islah sebagai asas dalam melestarikan kecemerlangan selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam secara holistik.
Pada majlis hari ini, seramai 646 warga KPWKM diraikan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu 525 termasuk lapan orang kurang upaya diikuti 72 daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 19 daripada Jabatan Pembangunan Wanita serta enam daripada Institut Sosial Malaysia.
Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Farah Adura Hamidi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Mohd Daud Mohd Arif.– Bernama