
SIMANGGANG: Sebanyak 21 pertubuhan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM154,000 yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, menegaskan bahawa penerima peruntukan perlu memastikan maklumat akaun bank mereka tepat dan dikemaskini dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Simanggang.
Ini, tegasnya, bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam proses penyaluran bantuan.
“Semua pertubuhan yang telah mengemaskini akaun masing-masing diwajibkan menyerahkan salinan terkini buku akaun kepada Pusat Khidmat.
“Ini penting untuk memastikan cek yang dikeluarkan adalah selaras dengan butiran akaun semasa,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek MRP kepada 21 penerima, di sini hari ini.
Harden menjelaskan, terdapat kes di mana pertubuhan menukar akaun selepas menyerahkan maklumat awal, menyebabkan butiran pada cek tidak sepadan dengan buku akaun yang terkini.
“Kesilapan seperti ini menyebabkan cek dikembalikan dan menimbulkan kelewatan.
“Malah, dalam beberapa kes, apabila proses penunaian mengambil masa terlalu lama dan cek tamat tempoh, pertubuhan serta pihak Pusat Khidmat turut mengalami kerugian,” katanya.
Harden turut menasihatkan agar setiap penerima memanfaatkan geran yang diterima dengan sebaik-baiknya untuk menjayakan aktiviti kemasyarakatan, selaras dengan objektif bantuan tersebut.
“Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan ini setiap tahun untuk membantu pertubuhan menganjurkan program yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Oleh itu, pastikan peruntukan ini digunakan seperti dirancang dan tidak disalah guna,” tambahnya.
Harden juga menyeru agar rakyat terus menghargai usaha kerajaan dalam memajukan negeri ini dari segi pembangunan insan dan fizikal menjelang 2030.
Oleh Adi Safarman