
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata dalam membincangkan konsep negara MADANI serta usaha memperkukuh ekonomi dan kenegaraan, asas yang paling utama mestilah sentiasa berpaksikan kepada ilmu pengetahuan, satu tiang seri yang bukan sahaja dipertahankan oleh institusi sekolah dan universiti, malah turut diperkukuh melalui peranan perpustakaan.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan suasana perpustakaan yang mesra dan menarik, sambil menyatakan bahawa sejarah tamadun agung dunia sering kali dikaitkan dengan kewujudan pusat ilmu yang unggul, sama ada Perpustakaan Iskandariah yang masyhur, Bayt al-Hikmah di Baghdad, mahupun institusi keilmuan yang muncul di Barat.
Dalam masa yang sama, Anwar turut memuji inisiatif seperti Perpustakaan Digital ASEAN, yang menurutnya mencerminkan komitmen rantau ini dalam mendemokrasikan akses kepada ilmu pengetahuan.
Beliau berkata perpustakaan perlu menyesuaikan diri dengan peredaran zaman, bukan sekadar menawarkan buku tetapi juga menyediakan akses kepada kandungan seperti podcast, filem, e-buku dan sumber digital lain yang kini menjadi alat pembelajaran penting dalam dunia masa kini.
CONSAL XIX, acara tiga tahun sekali, menghimpunkan 1,200 peserta dari negara anggota ASEAN dan luar rantau, dengan sebanyak 89 kertas kerja bernas dibentangkan oleh penceramah dan pakar ternama dari pelbagai bidang.
Sepanjang kongres ini, pelbagai topik dibincangkan termasuk peranan baharu perpustakaan yang semakin menyerlah dalam memupuk komuniti inklusif, sumbangan perpustakaan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta strategi memperluas ekosistem ilmu untuk kumpulan terpinggir termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat luar bandar. – Bernama