
PADA tanggal 15 Jun 1976, pemimpin dan penduduk Sarawak dikejutkan dengan pemergian salah seorang tokoh wanita Sarawak yang amat berjasa kepada negeri ini.
Beliau yang dimaksudkan itu ia Datuk Ajibah Abol yang mewarnai sejarah dan politik Sarawak sejak selepas Perang Dunia Kedua lagi.
Pemergiannya diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’akub.
Ketika itu Ajibah Abol memegang jawatan Menteri Kebajikan Am dan telah mengalami serangan jantung sehingga membawa kepada pemergiannya.
Bagi Datuk Patinggi Abdul Rahman pemergian Ajibah Abol satu kehilangan besar bagi penduduk Sarawak dan negara yang disifatkannya seorang pemimpin wanita unggul, tidak mementingkan diri sendiri, dan sangat berdedikasi.
Penghormatan
Kata-kata Datuk Patinggi Abdul Rahman ini menunjukkan bahawa Ajibah Abol bukannya sebarangan pemimpin.
Beliau amat dekat dengan rakyat, dan prihatin kepada negeri dan negara.
Atas sebab itu pada hari pengebumiannya ramai rakyat Sarawak sejak awal pagi telah datang ke Sri Samariang untuk memberi penghormatan terakhir.
Selain rakyat biasa, ahli politik, pemimpin, badan bukan kerajaan dan pegawai kerajaan juga melakukan kunjungan hormat di kediaman beliau.
Diplomat luar juga mengambil kesempatan untuk memberi penghormatan terakhir mereka.
Beberapa orang kenamaan dari Kuala Lumpur juga bergegas datang ke Kuching apabila mendengar pemergian Ajibah Abol.
Antaranya Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Amar Abdul Taib Mahmud dan isteri; Menteri Kebajian Am, Aishah Ghani dan Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Dr Sulaiman Daud.
Ketua Hakim Negara Tun Mohd. Suffian Hashim yang berada di Kuching juga mengambil kesempatan untuk melakukan penghormatan terakhir.
Sabah pula diwakili Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial, Datuk Suffian Koroh.
Pengebumian
Setelah selesai kunjungan penghormatan terakhir, rakyat dan para menteri serta diplomat di Sri Samariang, pada kira-kira jam 1 petang jenazah beliau dibawa ke tanah perkuburan di Masjid Negeri Sarawak (kini dikenali sebagai Masjid Bandaran Kuching).
Keranda yang membawa jenazahnya diselimuti dengan bendera negeri Sarawak bersama-sama dengan lambang kebesaran yang beliau peroleh.
Perjalanan terakhir beliau ini bermula dari Sri Samariang melalui beberapa jalan utama iaitu Jalan Maxwell, Jan Tun Abang Haji Openg, Jalan Green Road, Jalan Datuk Ong Kee Hui, Jalan Palm, Jalan Satok hingga ke Jalan Muda Hashim.
Selepas itu pihak tentera dan polis mengambil tugas untuk mengadakan perarakan ke tanah perkuburan. Perarakan ini disertai oleh ahli keluarga dan rakan beliau.
Gabenor dan Ketua Menteri bersama ribuan orang biasa juga mengikuti perarakan sejauh satu batu.
Sepanjang perarakan tersebut, golongan ibu dan orang ramai berbaris panjang di sepanjang jalan kampung menuju ke tanah perkuburan.
Setelah sampai di Masjid Negeri Sarawak, solat jenazah telah dilakukan.
Selepas itu upacara pengebumian dilakukan dengan Mufti Negeri, Ustaz Abdul Kadir Hassan membaca talqin.
Selesai bacaan talqin, upacara menyiram air mawar dan bunga rampai dilakukan oleh ahli keluarga beliau, Gabenor, Ketua Menteri, Tun Suffian Hashim, Aishah Ghani, Dr Sulaiman Daud (mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan Datuk Suffian Koroh (wakil kerajaan Sabah).
Beberapa lagi wakil parti juga menyertai upacara menyiram seperti Datuk Sim Kheng Hong mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pula diwakili Daniel Tajem, manakala Tan Sri Gerunsin Lembat pula mewakili perkhidmatan awam Sarawak.
Orang ramai telah menghadiri upacara pengebumian itu sejak jam 1 petang.
Ketua Menteri Sarawak mengisytiharkan cuti umum pada hari tersebut.
Hal ini menunjukkan betapa besarnya jasa yang ditinggalkan dan disumbangkan oleh Ajibah Abol.

Pengkisahan
Generasi hari ini tidak mengenal tokoh yang bernama Datuk Ajibah Abol, dan mungkin tertanya-tanya siapakah beliau? Mengapa penting tokoh ini sehingga cuti diumumkan untuk Sarawak.
Kebiasaannya cuti umum sesebuah negeri hanya untuk tokoh-tokoh tertinggi Sarawak seperti gabenor dan ketua menteri.
Bagi seorang yang hanya memegang jawatan menteri seperti Ajibah Abol menunjukkan bahawa beliau bukan orang sebarangan.
Dari penilian ringkas, beliau merupakan pejuang yang tidak kenal putus asa dan tidak kenal penat lelah.
Jejak perjuangan beliau boleh dikesan sejak selepas Perang Dunia Kedua.
Beliau bersama-sama Kaum Ibu Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak melawan British yang menjadikan Sarawak sebagai koloni.
Walaupun berlaku peristiwa berdarah di Sibu pada 1949 tetapi jiwa patriotik tetap tidak pernah luntur.
Beliau meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa untuk kemajuan menerusi Sekolah Rakyat.
Pembentukan Malaysia pula memperlihatkan beliau kembali aktif dalam politik dan menyertai Barisan Rakyat Jati Sarawak.
Beliau adalah penyokong kepada gagasan Tunku Abdul Rahman iaitu pembentukan Malaysia.
Perjuangan beliau tidak terhenti setelah Malaysia ditubuhkan. Beliau terus menyambung tekad untuk memajukan Sarawak.
Atas sebab itulah beliau mendapat perhatian pemimpin negeri Sarawak terutama Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaákub untuk menjadikannya sebagai salah seorang menteri dalam kerajaanSarawak.
Pujian
Ketokohan beliau ini boleh digambarkan dalam telegram yang dihantar oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Hussein Onn.
Dalam telegram tersebut menyebut bahawa Datuk Ajibah Abol sebagai seorang ahli politik yang tidak mementingkan diri dan telah memberikan sumbangan besar dalam bidang politik dan perkhidmatan kebajikan di Sarawak.
Dalam telegram tersebut, beliau turut menzahirkan rasa sedih dan amat terkesan dengan berita pemergian mengejut Ajibah Abol.
Katanya, kehilangan tokoh tersebut bukan sahaja dirasai oleh rakyat di Sarawak, malah turut dirasai oleh masyarakat di Semenanjung Malaysia.
Selain Datuk Hussein Onn beberapa lagi telegram yang sama dihantar ke Pejabat Ketua Menteri.
Antara mereka yang menghantarnya adalah dari Sultan dan Tengku Ampuan Selangor, Timbalan Perdana Menteri, Gabenor Pulau Pinang, Menteri Besar Perlis, Johor dan Terengganu, dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Begitulah satu gambaran penghormatan besar kepada tokoh bernama Ajibah Abol.
Wacana seterusnya akan meneliti tentang sejarah pejuang dan sumbangannya yang memberi impak besar atas pemimpin dan rakyat Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).