Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • JKR Sibu laksana naik taraf jalan untuk cegah banjir
  • TEMPATAN

JKR Sibu laksana naik taraf jalan untuk cegah banjir

Utusan Sarawak 20 hours ago
SEDANG BERJALAN… Datuk Teo Boon Siew menunjukkan kerja-kerja menaik taraf jalan bagi mengatasi banjir di Jalan Kong Yit Khim, Sibu, hari ini.

SIBU: Usaha mengatasi masalah banjir yang kerap melanda Jalan Kong Yit Khim di kawasan Salim-Stabau dan Jalan Penyulau di Kanowit kini giat dilaksanakan menerusi projek menaik taraf jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu.

Langkah tersebut diambil selepas JKR menerima peruntukan khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, hasil inisiatif berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing, bersama Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong, Datuk Teo Boon Siew, yang telah membawa isu itu ke peringkat Dewan Undangan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Penolong Jurutera JKR Bahagian Sibu, Sofia Ma’Soud, memaklumkan bahawa projek ini memberi tumpuan kepada sembilan kawasan yang dikenal pasti sering dilanda banjir, lima lokasi di Jalan Kong Yit Khim, dan empat lagi di Jalan Penyulau.

“Kerja menaik taraf ini melibatkan penambakan dan peninggian jalan di lokasi-lokasi kritikal bagi mencegah takungan air ketika hujan lebat, sekali gus meningkatkan daya tahan jalan terhadap banjir,” jelasnya.

Menurut Sofia, fasa pertama projek melibatkan kerja penambakan sepanjang 1.6 kilometer di salah satu kawasan paling terjejas di Jalan Kong Yit Khim, dengan kos sebanyak RM1.5 juta.

Projek ini dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

“Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan dan kawalan lalu lintas telah disusun rapi untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya.

Tinjauan ke tapak projek turut dilakukan oleh Teo bersama beberapa pemimpin komuniti dan pegawai JKR, yang menyifatkan projek ini sebagai satu penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir yang telah lama membelenggu penduduk setempat.

“Kita harap peningkatan aras jalan ini dapat mengurangkan risiko banjir secara berkesan.

“Saya juga menyeru agar semua pihak terlibat mengekalkan mutu kerja yang tinggi sepanjang pelaksanaan projek ini,” kata Teo.

Teo turut menasihatkan pengguna jalan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan sepanjang laluan projek.

“Kami bersama komuniti setempat akan terus memantau perjalanan projek ini sehingga ia siap sepenuhnya,” tegasnya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kerajaan perkukuh usaha tingkat kadar kesuburan keseluruhan, pendekatan inklusif libatkan lelaki
Next: Kerajaan Negeri iktiraf lapan individu sebagai Bumiputera Sarawak di Beluru

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.