

BALEH: Kerja-kerja takungan di tapak projek Empangan Hidroelektrik Baleh dijadualkan bermula pada 2027 dan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebaik sahaja empangan berkenaan siap, Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) akan berupaya menjana kira-kira 1.2 gigawatt (GW) tenaga elektrik menjelang 2029.
“Berdasarkan garis masa yang ditetapkan oleh Sarawak Energy, saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja takungan dijadualkan bermula pada 2027 dan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun.
“Projek ini dijadualkan siap pada Disember 2029, namun Sarawak Energy kini sedang berusaha menyiapkannya tiga bulan lebih awal daripada jadual,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke tapak projek empangan itu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari mencadangkan agar Sarawak Energy melaksanakan pendekatan mampan selari dengan kerja-kerja takungan bagi memastikan aktiviti sosioekonomi dapat dirancang menjelang 2030.
Beliau turut menggariskan tiga keutamaan strategik iaitu pemuliharaan biodiversiti, pembangunan pertanian serta perlindungan habitat hidupan liar dalam usaha memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui tidak menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Antara inisiatif utama yang dicadangkan ialah pelaksanaan program penghijauan semula secara besar-besaran bagi mengekalkan biodiversiti hutan yang terjejas akibat pembangunan empangan tersebut.
“Selain itu, kawasan sekitar juga berpotensi untuk dibangunkan bagi tujuan pertanian yang akan memberi peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk memelihara habitat semula jadi hidupan liar dan mengarahkan Sarawak Energy supaya bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Hutan Sarawak serta Jabatan Pertanian Sarawak dalam melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Saya telah arahkan mereka untuk berkolaborasi dan menyelaras usaha ini bersama komuniti setempat serta pihak industri,” katanya lagi.
Menurut beliau, pendekatan bersepadu ini adalah sebahagian komitmen jangka panjang kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan tenaga dibuat secara lestari, sejajar dengan usaha menangani perubahan iklim global.
“Kita telah banyak belajar daripada pengalaman pembangunan empangan di Batang Ai dan Bakun. Kini, pendekatan kita lebih mampan dan menepati keperluan semasa dunia dalam menghadapi isu iklim,” katanya.
Empangan Hidroelektrik Baleh merupakan antara projek utama di bawah strategi Sarawak untuk muncul sebagai pengeluar tenaga hijau utama di rantau ini menjelang 2030.
Turut hadir semasa lawatan tersebut adalah Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta beberapa timbalan menteri, wakil rakyat, pegawai kanan Sarawak Energy dan wakil agensi kerajaan berkaitan.
Oleh TARANI LANTING