
BUTTERWORTH: Kerajaan giat mempertingkatkan usaha bagi menaikkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) negara yang menunjukkan penurunan sejak 15 tahun lepas, dengan memperkenalkan penyelesaian bersifat inklusif yang turut melibatkan peranan lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata kadar TFR negara tahun ini ialah 1.7 meningkat sedikit berbanding 1.6 pada tahun lepas, namun masih di bawah paras penggantian, iaitu sebanyak 2.1 orang anak.
“Ini belum mencukupi, sebab itu kita usaha pupuk kesedaran melalui lebih banyak program dan jerayawara. Kadangkala, bukan wanita pencetus masalah lelaki juga boleh menjadi punca kadar kesuburan rendah,” katanya
Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Women’s Inspiration Programme: Womenpreneurs – Shaping The Future Economy anjuran Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang.
Beliau berkata siri jerayawara kebangsaan telah pun bermula di Sabah dan bakal diteruskan ke negeri-negeri lain.
“Terdapat beberapa lagi program di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menangani isu kesuburan, dengan pendekatan melibatkan kedua-dua jantina,” katanya.
Mengulas mengenai acara itu, Nancy berkata program berkenaan menjadi platform untuk usahawan wanita mempelajari, berkongsi strategi, dan membina rangkaian kerjasama.
Beliau juga menegaskan semula komitmen kerajaan untuk memperkasakan kepimpinan wanita dalam pelbagai sektor dan ini antara objektif utama Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang dilancarkan sempena Hari Wanita Sedunia pada Mac lepas.

Pada masa ini, wanita membentuk 49 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, namun daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen, hanya 13.36 peratus ialah wanita, masih menunjukkan jurang yang besar.
“Namun, terdapat perkembangan menggalakkan apabila 38.9 peratus jawatan tertinggi dalam sektor awam kini disandang oleh wanita selain wanita juga mewakili 32.2 peratus ahli lembaga pengarah dalam syarikat tersenarai awam,” katanya.
Di peringkat kementerian pula, Nancy berkata pihaknya sedang memperkasakan wanita untuk menerajui kepimpinan masa hadapan melalui inisiatif seperti Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang dilancarkan tahun lepas, dan telah membimbing lebih 1,200 wanita, dengan bimbingan daripada 25 tokoh terkemuka dalam 10 sektor utama.
Beliau berkata tahun ini program berkenaan akan diperluas dengan peruntukan RM5 juta, melibatkan 100 mentor dan 5,000 peserta sekali gus memperlihatkan usaha pelaburan berterusan kerajaan dalam memperkasakan kepimpinan wanita.
-Bernama