
BINTULU: Petronas menerusi anak syarikatnya, Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd dan Petronas Carigali Sdn Bhd terus memperkukuh komitmen terhadap komuniti setempat menerusi Program Memacu Kehidupan Gawai Segulai Sejalai.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi berkata, program tersebut adalah kesinambungan kepada inisiatif tahun sebelumnya yang memberi fokus kepada kebajikan dan pembangunan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
“Petronas Memacu Kehidupan Gawai Segulai Sejalai merupakan kesinambungan daripada inisiatif tahun sebelum ini dalam menunjukkan komitmen syarikat terhadap peningkatan taraf hidup masyarakat sekitar,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Petronas menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti alat tulis, kudapan dan bakul serbaguna kepada 25 kanak-kanak yang dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Persatuan Advokasi Pendidik Awal Kanak-Kanak Bintulu.
Sebuah kerusi roda turut disumbangkan kepada seorang kanak-kanak penghidap Cerebral Palsy bagi membantu urusan harian.
Pada majlis sama, Program Jangkauan Luar MLNG Bestari di bawah inisiatif Petronas Memperkasakan Ilmu turut dilancarkan sebagai usaha memperkasa pendidikan di kawasan luar bandar.
Sebanyak 46 unit televisyen pintar disumbangkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu untuk diagihkan kepada sekolah terpilih.
Manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nyalau menerima sumbangan meja dan kerusi pejabat bagi meringankan beban pengurusan pembelajaran harian.
Oleh Carolyne Utih