
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sekali lagi membuka peluang kepada usahawan muda negeri ini dengan pelancaran rasmi permohonan bagi menyertai TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2025 bagi kohort ke-7.
Program intensif selama enam hari yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos di TEGAS Digital Village ini dirangka khusus untuk membantu syarikat pemula peringkat awal yang diasaskan oleh anak Sarawak agar lebih bersedia menghadapi dunia perniagaan sebenar sekali gus memperkukuh daya saing mereka dalam ekosistem digital dan inovasi.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh TPAB merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memperkasa golongan belia dan usahawan Sarawak.
“Inisiatif ini bertujuan melahirkan generasi pemikir berani yang mampu mencetus perubahan dalam komuniti, sejajar dengan aspirasi menjadikan Sarawak ekonomi digital inklusif dan progresif menjelang 2030,” ujar beliau hari ini.
Tambah beliau, dengan memberikan akses kepada ilmu, alat dan sokongan yang betul kepada pengasas startup, kita sedang membina asas yang kukuh untuk ekosistem inovasi negeri dan melahirkan bakat tempatan yang bersedia bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Buat julung kalinya, TEGAS bekerjasama dengan Growth Charger, sebuah organisasi pemecut syarikat pemula yang terkemuka di Malaysia bagi memperkukuh program TPAB melalui kandungan mantap, bimbingan berkesan dan pendedahan kepada realiti perniagaan.
“Growth Charger berbesar hati untuk menyertai kohort ke-7 TPAB dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan barisan pengasas baharu Sarawak yang berani dan berpotensi tinggi,” kata Pengarah dan Pengasas Bersama Growth Charger, Iskandar Shafi’.
Antara pengisian utama TPAB 2025 termasuk bengkel yang dikendalikan oleh pakar industri, laluan pembangunan teknikal dan perniagaan, sesi bimbingan (mentorship), serta peluang jaringan bersama pelabur, korporat dan pemimpin industri.
Program ini menyediakan modul praktikal seperti pemikiran reka bentuk dan pembangunan model perniagaan, serta tunjuk ajar langsung daripada jurulatih, pelabur, dan pengasas syarikat berpengalaman dari Malaysia dan rantau ini.
Kemuncak kepada program ini adalah Final Demo Day, di mana peserta akan membentangkan idea mereka di hadapan pelabur, rakan strategik korporat dan pemangku kepentingan dalam ekosistem syarikat pemula.
Lima syarikat terbaik akan menerima sokongan lanjutan selama enam bulan termasuk sesi bimbingan lanjutan, pencarian padanan pelabur dan akses kepada pelbagai sumber yang bernilai tinggi.
Setiap pasukan mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengasas dari Sarawak dan program ini terbuka kepada syarikat pemula dalam fasa idea atau pertumbuhan awal yang menyelesaikan masalah sebenar.
Permohonan TPAB 2025 kini dibuka dan akan ditutup pada 13 Julai 2025, serta pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di https://bit.ly/TPAB2025.
Oleh Clarissa Ima