Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Rampasan dadah terbesar Sarawak: Polis tumpaskan sindiket bernilai RM8.53 juta
  • JENAYAH

Rampasan dadah terbesar Sarawak: Polis tumpaskan sindiket bernilai RM8.53 juta

Utusan Sarawak 13 hours ago
PESURUHJAYA Polis Sarawak Datuk Mancha Ata bersama pegawainya menunjukkan dadah dan wang tunai yang berjaya ditumpaskan dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM8.53 juta. 

SIBU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Sibu dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM8.53 juta, menjadikannya rampasan terbesar dalam sejarah Sarawak setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kejayaan itu hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada 12 dan 13 Jun lalu.

Katanya, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di tepi sebuah kedai di Pusat Pedada serta dua rumah teres di Lorong Permai Jaya, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 52 tahun dan seorang wanita berusia 44 tahun.

“Hasil penahanan suspek membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM532,934.40, termasuk 7,086.7 gram syabu, 2,078.9 gram ketamin dan 2,022.6 gram pil Erimin 5,” katanya pada sidang media hari ini.

DALANG utama sindiket pengedaran dadah di Sibu berjaya ditumpaskan dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM8.53 juta. 

Turut hadir Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dan Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Ghani Abdullah. 

Mancha berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu digunakan oleh 49,702 penagih.

Turut disita adalah pelbagai harta dipercayai milik sindiket berjumlah RM7.99 juta, antaranya wang tunai RM5.15 juta, empat keping jongkong emas, barangan kemas, tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex serta tiga kenderaan jenis Lexus RX350F Sport, Lexus ES250 dan Toyota Vios.

“Selain itu, polis turut merampas beberapa kad bank, kunci dan peralatan pembungkusan dadah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan dalang utama sindiket yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Sibu sejak 2015, menggunakan perkhidmatan kurier untuk mendapatkan bekalan dari Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, keputusan saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 20 Jun bagi membantu siasatan.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kini giat memburu saki-baki rangkaian sindiket bagi melumpuhkan operasi mereka sepenuhnya,” tambah Mancha.

Polis Diraja Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memerangi pengedaran dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Kapal tunda ditahan di Mukah
Next: SPRM tahan lima disyaki seleweng dana NGO sumbangan awam bernilai RM26 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.