
BINTANGOR: Sebanyak enam pili bomba telah diperiksa oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dalam pemeriksaan berkala yang dijalankan semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan setiap pili berada dalam keadaan baik dan berfungsi sepenuhnya semasa operasi kecemasan.
“Pemeriksaan ini penting bagi mengesan sebarang kerosakan atau kebocoran yang boleh menjejaskan keberkesanan operasi menyelamat di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama masyarakat juga amat penting dalam memastikan kawasan sekitar pili bomba sentiasa bebas daripada halangan.
“Saya menggesa orang awam agar tidak meletakkan sebarang objek yang boleh menghalang akses ke pili bomba.
“Saya juga menggalakkan lebih ramai mendaftar sebagai Teman Pili Bomba untuk membantu memantau keadaan pili bomba di kawasan masing-masing,” tambahnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang kerosakan atau masalah berkaitan pili bomba kepada pihak bomba bagi tindakan segera.
Oleh Earl Anek