
DUNIA penerbangan menawarkan kerjaya yang menarik, dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.
Namun, jika ditanya secara spontan, kebiasaannya kita akan membayangkan kerjaya yang menonjol seperti juruterbang atau pramugari.
Tidak dapat dinafikan, kedua-dua kerjaya ini merupakan simbol kemegahan kerjaya di langit biru, namun bidang ini dihidupkan oleh ramai profesional yang mengisi setiap disiplin yang saling melengkapi.
Bayangkan tanpa mereka yang bekerja di bahagian penyelenggaraan, kapal terbang tidak akan dapat dibenarkan berlepas, begitu juga tanpa kreativiti mereka yang bertugas di bahagian pemasaran, mana mungkin syarikat penerbangan itu akan dikenali dan menjadi pilihan untuk terbang bersama.
Namun, sebenarnya lebih banyak posisi yang kurang disedari akan kepentingannya wujud dalam dunia penerbangan, dari mula memerah otak mencipta imaginasi yang boleh direalisasikan hingga memantau jaringan laluan ribuan kapal terbang yang kompleks, ia suatu peluang yang akan terbuka kepada mereka yang berminat untuk mencarinya.
Oleh itu, bagi mereka yang masih di peringkat mula mencari kerja atau pengalaman dalam bidang ini, namun masih belum tahu akan halatuju dan laluan yang boleh diceburi, selain memerlukan panduan dan sokongan yang tepat untuk memasuki dunia pekerjaan, maka salah satu platform yang boleh dimanfaatkan ialah laman sesawanghttps://www.mymahir.my/home atau MyMAHIR.
MyMAHIR merupakan inisiatif di bawah TalentCorp yang menyediakan maklumat komprehensif mengenai kerjaya, kemahiran dan peluang latihan berdasarkan keperluan industri semasa dan masa depan.
Laman ini direka untuk memberi maklumat kepada pencari kerja mengenai pelbagai aspek penting dunia pekerjaan.

Salah satu pilihan sektor yang disenaraikan ialah aeroangkasa. Industri aeroangkasa di Malaysia seperti yang kita maklum merupakan sektor strategik bernilai tinggi yang diberi keutamaan dalam pembangunan dan pelaburan negara kerana potensi pertumbuhannya besar.
Ia merangkumi pelbagai aktiviti termasuk Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO), pembuatan bahagian dan komponen aeroangkasa, integrasi sistem, perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk serta latihan dan pendidikan.
Sebagai sektor aeroangkasa kedua terbesar di Asia Tenggara, Malaysia digerakkan terutamanya oleh subsektor MRO dan aero-pembuatan yang menyumbang sebanyak 94 peratus daripada keseluruhan hasil sektor ini.
Pada 2022 sahaja, sektor ini telah menyumbang kira-kira RM1.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, berdasarkan MyMAHIR, kerjaya dalam bidang ini boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu In-Demand, Emerging dan Highly Impacted.
Pertama sekali, kategori In-Demand merujuk kepada pekerjaan yang sangat diperlukan oleh industri dan mempunyai permintaan tinggi untuk memenuhi keperluan operasi semasa.
Dalam kategori ini, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai peluang untuk memulakan kerjaya antaranya sebagai “Aircraft Technician Trainee” yang bertanggungjawab membantu juruteknik berlesen menjalankan pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan asas pada pesawat.
Sebagai tambahan, jawatan “General Operator (Assembly Line)” menumpukan kepada aktiviti pemasangan bahagian-bahagian pesawat secara teratur mengikut prosedur kerja di kilang pembuatan aeroangkasa.
“Workshop Assistant (Maintenance)” pula membantu menyediakan peralatan, memastikan ruang kerja kemas serta membantu dalam proses baik pulih komponen tertentu.
Kedua ialah kategori Emerging yang bermaksud kerjaya-kerjaya baharu yang semakin muncul dalam industri akibat perubahan teknologi dan permintaan pasaran.
Salah satu daripadanya ialah “Drone Maintenance Assistant” yang berperanan menyokong kerja penyelenggaraan pesawat tanpa pemandu (UAV) iaitu satu bidang yang semakin penting dalam dunia logistik dan pemantauan udara.
Selain itu, “Composite Material Handler” bertanggungjawab mengendalikan bahan komposit seperti serat karbon yang digunakan dalam pembinaan pesawat moden yang lebih ringan dan cekap bahan api.
Tidak kurang juga, “Junior Data Logger (Aviation)” berperanan merekodkan data penerbangan penting untuk dianalisis bagi meningkatkan keselamatan dan prestasi pesawat.
Kategori ketiga pula iaitu Highly Impacted pula merujuk kepada kerjaya yang berisiko mengalami pengurangan akibat automasi dan teknologi baharu, namun masih diperlukan pada peringkat sokongan awal.
Antaranya ialah “Document Controller (Trainee)” yang bertanggungjawab menguruskan dokumentasi penting berkaitan operasi pesawat secara teratur, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital.
Seterusnya, “Store Assistant (Aviation Logistics)” memainkan peranan penting dalam mengurus inventori komponen pesawat, memastikan alat ganti sentiasa tersedia untuk operasi penyelenggaraan.
Sementara itu, “Ground Support Equipment Operator” bertugas mengendalikan, memandu serta melakukan penyelenggaraan asas terhadap peralatan bantuan darat seperti traktor penunda, tangga pesawat dan kenderaan pengangkut bagasi.
Merekalah memastikan semua peralatan sokongan ini berfungsi dengan baik untuk memudahkan proses pelepasan dan ketibaan pesawat.
Kerjaya-kerjaya yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian daripada spektrum luas peluang yang tersedia dalam industri aeroangkasa melalui MyMahir.
Malah, sekiranya ada individu yang telah berpengalaman dan ingin meningkatkan kemahiran, terdapat juga laluan kerjaya lanjutan yang boleh dipertimbangkan.
Setiap kerjaya yang disenaraikan ini boleh diceburi tanpa kelulusan di peringkat sarjana muda, malah boleh diikuti melalui kursus kemahiran seperti yang dikategorikan dalam MyMAHIR iaitu kemahiran asas, kemahiran khusus dan kemahiran teknologi.
Kemahiran asas contohnya adalah seperti komunikasi berkesan, kerja berpasukan, pengurusan masa dan penyelesaian masalah menjadi tunjang utama.
Kemahiran khusus merangkumi pengendalian peralatan teknikal, membaca pelan kejuruteraan serta menjalankan pemeriksaan asas sistem pesawat. Akhir sekali, kemahiranteknologi meliputi penggunaan perisian data log, automasi kilang dan aplikasi sistem digital penyelenggaraan.
Oleh itu, langkah pertama yang boleh diambil ialah meneroka senarai “Roles” yang terdapat dalam platform MyMAHIR. Fungsi “Compare Career” yang disediakan amat berguna untuk membandingkan keperluan kemahiran dan peluang kerjaya bagi setiap peranan.
Setelah menentukan kerjaya yang ingin diceburi, calon boleh mendaftar dalam program latihan seperti Sarawak Skills Centre, SIRIM atau di institusi yang diiktiraf seperti dinyatakan dalam MyMahir.
Melalui platform MyMAHIR, pengguna turut dapat mengakses maklumat tambahan berkaitan penilaian profil kemahiran, cadangan program latihan berdasarkan penilaian kemahiran serta meneroka pelbagai potensi kerjaya dan kemahiran menerusi ciri ‘skills profiling’, ‘training programme recommendations’ dan ‘jobs and skills explorer’ yang tersedia.
Setiap langkah ini saling berkait dan penting untuk memastikan kejayaan dalam memulakan kerjaya di industri penerbangan yang kompetitif ini.
Oleh itu, sesiapa pun yang berminat untuk “terbang” dalam kerjaya aeroangka ini, bolehlah memanfaatkan MyMAHIR ini kerana ia bukan sekadar pangkalan data kerjaya biasa, malah ia memberi pendedahan menyeluruh terhadap pelbagai kategori kerjaya.
Selain itu, ia juga menawarkan akses kepada program latihan kemahiran yang relevan serta jaringan peluang pekerjaan yang disokong langsung oleh industri.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.