
SIMANGGANG: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Parlimen Sri Aman digesa memperluas pengetahuan serta meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) bagi memperkukuh peranan mereka sebagai pemimpin akar umbi.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, selain celik IT, mereka juga perlu menguasai kemahiran asas seperti menaip dan menyediakan dokumen rasmi termasuk surat rasmi, kertas kerja, minit serta notis mesyuarat.
“Menyedari bahawa masih ramai komuniti di kampung dan rumah panjang terlepas peluang menyertai pelbagai program bantuan kerana kekurangan kemahiran, khususnya dalam permohonan atas talian dan pengurusan dokumentasi, maka bengkel ini diadakan.
“Kita nekad untuk meneruskan inisiatif ini sehingga semua KMKK dan pemimpin akar umbi di Parlimen Sri Aman memiliki asas kemahiran IT dan pengurusan yang mencukupi. Ini penting untuk membantu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Kemahiran IT untuk Ketua-Ketua Kaum di P.202 Sri Aman, yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) cawangan Sri Aman, petang semalam.
Doris menjelaskan, bengkel tersebut merupakan penganjuran kali kedua tahun ini hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Parlimen P.202 Sri Aman, Sarawak Skills Sri Aman serta pejabat daerah di Sri Aman, dengan matlamat memperkasakan pemimpin akar umbi dengan kemahiran asas teknologi dan pengurusan.
“Literasi digital dan pendidikan merupakan kunci kepada perubahan serta pemerkasaan rakyat. Saya berharap seluruh warga Sri Aman mengambil serius hal ini, apatah lagi bandar ini kini diiktiraf sebagai ‘Smart City’,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Parlimen beliau akan terus komited menganjurkan lebih banyak bengkel seumpama ini bagi memastikan lebih ramai pemimpin akar umbi dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang relevan serta diperlukan pada masa kini.
Oleh Adi Safarman