
SIBU: Semangat hormat-menghormati antara rakyat pelbagai kaum dan agama terus menjadi asas penting dalam membina sebuah negara yang stabil dan sejahtera.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata pendekatan yang berteraskan nilai saling menghormati amat penting dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia ketika ini.
“Kita hidup dalam sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian budaya, tanpa rasa hormat antara satu sama lain, sukar untuk kita bina masa depan yang aman dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ngiling Bidai di Rumah Simon Ason, Kilometer 27, Jalan Sibu-Durin, malam tadi.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong menegaskan bahawa sikap ekstrem yang ditunjukkan oleh sesetengah parti politik boleh mengancam kestabilan dan menimbulkan perbalahan dalam kalangan rakyat.
“Kita mesti sedar bahawa dalam keluarga, keharmonian hanya dapat dicapai apabila semua pihak saling menghormati. Begitulah juga dalam konteks negara, hanya melalui semangat muhibah dan persefahaman kita mampu bina masa depan yang aman dan makmur,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan keperluan setiap rumah panjang untuk menubuhkan dan mendaftar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara rasmi serta memiliki akaun bank sendiri.
Langkah ini, katanya, adalah penting bagi memudahkan penyaluran peruntukan kerajaan untuk pelbagai projek pembangunan demi manfaat komuniti setempat.
“Kerajaan komited untuk membantu rakyat, namun pengurusan yang tersusun amat diperlukan supaya bantuan dan projek dapat dilaksanakan secara berkesan dan telus,” jelas beliau
Sebagai komitmen beliau terhadap pembangunan luar bandar, Tiong mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Rumah Simon melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Selain itu, beliau turut menyumbangkan RM15,000 daripada dana peribadinya kepada Biro Wanita JKKK rumah panjang tersebut sebagai penghargaan atas peranan wanita dalam memperkukuh institusi masyarakat.
Oleh Tarani Lanting