
NIAH: Pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu masih belum dilaksanakan kerana ia melibatkan jawatan tambahan.
Permohonan bagi jawatan tambahan tersebut telah dikemukakan, namun kelulusan tertakluk kepada Pejabat Premier Sarawak dan melibatkan semua kawasan di Sarawak, bukan hanya kawasan DUN Bekenu sahaja.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata demikian pada majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Zon Saeh yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Zon Saeh di Dewan Serbaguna Saeh, malam tadi.
“Keputusan mengenai jawatan tambahan ini bukan hanya untuk kawasan kita sahaja, ia melibatkan semua kawasan di Sarawak dan akan dibuat secara serentak. Jika penggantian jawatan, ia tidak menjadi masalah, tetapi untuk jawatan tambahan memerlukan kelulusan daripada Kabinet Negeri,” jelasnya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menasihati mereka yang sedang memegang tugas pengerusi jawatankuasa agar bersabar dan terus menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Ini untuk makluman semua bahawa permohonan jawatan tambahan merangkumi ketua kaum, ketua masyarakat, pemanca, penghulu, tuai rumah, ketua kampung dan kapitan.
Setakat ini, permohonan belum mendapat kelulusan dan belum ada mesyuarat diadakan. Kita semua berdoa agar proses ini dapat diselesaikan dengan segera,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, Rosey turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan Zon Saeh melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Bekenu.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, Penghulu Epat Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Zon Saeh, Christopher Banyong, Pembantu Pegawai Tadbir (SAO) Niah, Muhammad Fazly Juna serta tuai rumah panjang Zon Saeh.
Oleh Adum Liu