
KUCHING: Pertandingan Eco Glam Fashion Face-Off yang berlangsung sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2025 anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini menyaksikan penyertaan cemerlang daripada kanak-kanak tadika dan sekolah rendah yang memperagakan fesyen kreatif berasaskan bahan kitar semula.
Pertandingan berkenaan yang diadakan di Dewan Masyarakat MBKS hari ini telah menarik perhatian para pengunjung apabila peserta-peserta cilik mempersembahkan hasil rekaan unik menggunakan bahan buangan seperti plastik, kertas, kotak dan beg plastik, sekaligus menyerlahkan kreativiti serta kesedaran terhadap kelestarian alam.

Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, pertandingan tersebut bukan sekadar acara fesyen, malah merupakan pendekatan pendidikan awal yang efektif dalam menanam nilai-nilai penjagaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu anak-anak ini membesar dengan kefahaman bahawa setiap sisa yang dibuang boleh diberi nilai baharu. Eco Glam Fashion Face-Off ini menjadi simbolik kepada tema tahun ini iaitu ‘Trash to Hope’, yang mengajak kita semua melihat sampah bukan lagi beban tetapi sebagai sumber harapan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Alam Sekitar 2025 di Dewan Masyarakat MBKS hari ini.
Tambah Wee, usaha seperti ini penting dalam membentuk minda masyarakat agar lebih menghargai alam sekitar, bermula daripada peringkat akar umbi.
Bagi kategori umur empat hingga enam tahun, Nur Hafeeza Razlan dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 berserta sijil.
Tempat kedua dimenangi oleh Adriella Wimola Alex yang menerima hadiah RM200 dan sijil, manakala tempat ketiga menjadi milik Qaireen Qasreena Abdullah dengan hadiah RM100 dan sijil.
Lima peserta lain, iaitu Aren Nanta, Queenzy Lennon Kho Yang Ning, Mya Arissa Ezuwandi, Russell Louise David Platea dan Adam Rizqi Mohd Rais masing-masing menerima hadiah saguhati bernilai RM50 berserta sijil penyertaan sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Bagi kategori umur tujuh hingga 12 tahun pula, Anson Lim Jin Ren muncul sebagai pemenang tempat pertama dan menerima hadiah wang tunai RM300.
Tempat kedua dimenangi oleh Deshaine Liew dengan hadiah RM200, manakala Eunna Hii Ka Jing menerima RM100 di tempat ketiga.
Lima peserta lain turut menerima hadiah saguhati bernilai RM50 dan sijil penyertaan, iaitu Kimberly Chong Yew Xuan, Paris Ngu, Almira Sofia binti Abdul Mohamad Faizal, Jovina Kho Jia Yee dan Quincy Lennon Kho Teng Jie.
Oleh Amanda L