
SELANGAU: Sebanyak 32 pasukan futsal dijangka berentap dalam Kejohanan Futsal Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang Edisi Ketiga 2025 yang akan berlangsung di Arena Futsal Pejabat Daerah Selangau pada 27 dan 28 Jun ini.
Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Selangau dengan kerjasama Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin itu terbuka kepada semua pasukan dari kawasan sekitar dengan keutamaan diberikan kepada penyertaan golongan belia di DUN berkenaan.
Menurut kenyataan penganjur, program berkenaan bertujuan untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti riadah yang sihat dan bermanfaat selain mencungkil bakat baharu dalam sukan futsal.
“Matlamat utama penganjuran adalah untuk membina sahsiah positif generasi muda melalui sukan sekali gus menjauhi mereka daripada gejala sosial,” katanya.
Majlis perasmian kejohanan akan disempurnakan oleh Ketua Pemuda PRS Selangau, Kaunselor Dido Saleh yang juga Exco Pemuda PRS Negeri Sarawak, mewakili ADUN Tamin.
Presiden Kelab Bola Sepak Selangau merakamkan penghargaan kepada Gira atas sokongan padu yang membolehkan kejohanan ini diteruskan bagi tahun ketiga berturut-turut.
Pasukan yang berminat boleh mendaftar dengan yuran penyertaan sebanyak RM200 dan bakal merebut hadiah wang tunai serta trofi.
Juara akan membawa pulang RM1,500 berserta piala dan pingat, naib juara RM1,000 serta piala dan pingat, manakala tempat ketiga menerima RM800, piala dan pingat.
Oleh Tarani Lanting