Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Syabu RM224,000 dirampas, polis tumpas ‘Transporter’ sindiket dadah ke Sabah
  • JENAYAH

Syabu RM224,000 dirampas, polis tumpas ‘Transporter’ sindiket dadah ke Sabah

Utusan Sarawak 1 day ago
DIRAMPAS… Dadah jenis syabu yang disorok dalam bagasi milik suspek.

MIRI: Polis berjaya menumpaskan satu cubaan penyeludupan dadah berskala besar apabila menahan seorang lelaki tempatan bersama tujuh kilogram dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah bilik hotel di sini, kelmarin.

Rampasan dadah bernilai RM224,000 itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran Sabah, sekali gus menandakan satu lagi kejayaan penting pihak polis dalam mengekang aktiviti jenayah terancang melibatkan sindiket dadah antarabangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Miri dan BSJN IPD Marudi dalam serbuan 9.50 pagi.

“Rampasan kali ini sangat signifikan.

“Dengan berat tujuh kilogram, dadah ini dianggarkan boleh menampung kira-kira 7,000 penagih, yang memberi gambaran jelas tentang skala dan keseriusan aktiviti pengedaran ini,” katanya pada sidang media di Ruai Kenyalang IPD, petang tadi.

Menurut beliau, suspek berperanan sebagai ‘transporter’, dipercayai menjadi perantara kepada sindiket dadah untuk menghantar bekalan ke lokasi tertentu di Sabah, dan menerima bayaran sebanyak RM2,000 bagi setiap kilogram yang dihantar.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau, menimbulkan kemungkinan beliau adalah individu yang telah lama bergerak dalam rangkaian pengedaran dadah.

“Siasatan awal menunjukkan wujudnya rangkaian lebih besar, dan kita percaya ini bukan kali pertama suspek terlibat.

“Polis akan terus membongkar dan mengenal pasti ahli sindiket lain yang mungkin masih bebas,” ujarnya.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 Jun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Rampasan ini turut mencerminkan ancaman jenayah narkotik yang kian serius di Sarawak, khususnya di kawasan sempadan dan laluan transit ke negeri jiran.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Kertas siasatan kes pelakon terlibat amang seksual dihantar ke TPR

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.