
BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau tidak lagi pulang ke kawasan selepas dilantik sebagai menteri Persekutuan.
Menurut beliau, tuduhan tersebut merupakan tohmahan berniat jahat yang bertujuan merosakkan hubungan baik antara dirinya dengan rakyat di kawasan Bintulu.
“Malangnya, saya dimaklumkan bahawa ada pihak tertentu telah menyebarkan tohmahan kononnya saya tidak lagi pulang ke kawasan selepas memegang jawatan menteri.
“Kononnya saya telah berubah, lupa diri ‘bagai kacang lupakan kulit’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu menjelaskan, walaupun berdepan jadual tugas yang padat, beliau tetap berusaha menyusun semula jadual rasmi agar dapat bersama rakyat di Bintulu khususnya ketika musim perayaan Gawai.
“Semalam, walaupun terdapat satu lagi program rasmi yang perlu saya hadiri di Melaka, saya tetap memilih untuk pulang ke Bintulu dan menyambut Ngiling Bidai bersama rakan-rakan,” jelasnya.
Beliau berkata, kerja khidmat rakyat tidak pernah terhenti dan pasukan Pusat Khidmat Parlimen Bintulu terus beroperasi seperti biasa, malah sentiasa mengikuti perkembangan masyarakat dari semasa ke semasa.
Beliau turut memohon rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan dan terus menyalurkan sebarang isu secara langsung kepada beliau atau pegawai khasnya.
“Saya dengan rendah hati memohon, berilah kami sedikit masa dan ruang.
“Sebarang permasalahan, sila maklumkan terus kepada saya atau pasukan saya. Kami berada di sini kerana anda,” ujarnya.
Tiong turut menzahirkan penghargaan dan permohonan maaf kepada pemimpin masyarakat serta komuniti rumah panjang atas sebarang kelewatan projek, namun memberi jaminan bahawa segala usaha sedang giat dilakukan untuk menyelesaikannya secara berperingkat.
“Kami sedang menyusun semula keutamaan dan memastikan semuanya berjalan lancar seterusnya dapat memberi manfaat kepada rakyat,” tambah beliau.
Oleh Carolyne Utih