KUCHING: Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar akan membantu menstabilkan harga serta mengurangkan risiko muflis, penutupan perniagaan, lelongan harga dan mengelakkan kemelesatan ekonomi.
Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching, Sim Kiang Chiok berkata, bantuan ini dapat membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dengan menikmati moratorium bersasar bagi tempoh tiga bulan.
“Manakala mereka yang gaji dikurangkan juga akan mendapat pelepasan dengan pengurangan pembayaran pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi selaras dengan pengurangan gaji.
“Bantuan gaji kerajaan juga penting dalam menjaga pekerjaan dan subsidi gaji ini akan berakhir pada bulan September nanti, dan pada masa itu kita mungkin akan melihat peningkatan kadar pengangguran dan moratorium pinjaman yang disasarkan ini merupakan bantuan yang sangat penting bagi mereka yang memerlukan pada masa itu,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pengumuman Perdana Menteri tersebut turut menyatakan bahawa pihak bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau yang bekerja sendiri.
“Langkah ini akan memberi manfaat kepada tiga juta individu dan PKS, dan bantuan ini amat dialu-alukan kerana akan membantu perniagaan untuk terus bertahan semasa wabak ini.
“Selain itu penjadualan semual pembayaran pinjaman dan faedah juga kaedah yang baik untuk mengurangkan beban komitmen peminjam dan juga bagi bank yang tidak perlu meminjamkan lagi dengan modal yang telah dibayar di pasaran yang lemah pada ketika ini,” ujarnya.
Jelasnya, wabak ini telah menular ke seluruh dunia dan beberapa negara ekonomi besar masih belum berkemampuan untuk pulih, semua faktor ini membantutkan penawaran dan permintaan barangan, mengurangkan perdagangan dunia dan secara langsung mempengaruhi ekonomi domestik negara kerana permintaan untuk eksport kita juga berkurang.
“Dengan gelombang kedua dan bahkan gelombang ketiga serta tidak ada penawar atau vaksin yang tersedia hingga tahun depan, perniagaan tidak akan dapat beroperasi seperti biasa hingga waktu ini.
“Nasihat terbaik sekarang adalah untuk tetap sihat, kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial,” tambahnya.