Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Nahas Air India: ‘Saya dah naik pesawat, semuanya baik.’ Itu panggilan terakhirnya’
  • GLOBAL

Nahas Air India: ‘Saya dah naik pesawat, semuanya baik.’ Itu panggilan terakhirnya’

Utusan Sarawak 2 days ago

Ahli keluarga menunggu di sebuah pusat kecemasan di Ahmedabad untuk memberikan sampel DNA. Foto Punit Paranjpe/AFP

AHMEDABAD: Suasana hiba menyelubungi sebuah dewan di Ahmedabad apabila keluarga mangsa nahas pesawat Air India memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti insan tersayang yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.

Sekurang-kurangnya 265 nyawa terkorban – termasuk penumpang dan penduduk – apabila pesawat 787-8 Dreamliner itu terjunam dan meletup sejurus berlepas menuju London, semalam. 

Seorang penumpang warga Britain terselamat secara ajaib.

Ashfaque Nanabawa, 40, berkata dia hadir untuk mencari sepupunya, Akeel Nanabawa, yang menaiki pesawat bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia tiga tahun.

“Sebelum berlepas, dia hubungi kami dan berkata, ‘Saya dah naik pesawat dan semuanya baik.’ Itu panggilan terakhirnya,” katanya, awal pagi tadi.

Setakat ini, keluarga Ashfaque belum mengenal pasti sebarang jenazah. 

Polis mengesahkan 265 mayat sudah dikeluarkan, termasuk dari bangkai pesawat dan kediaman kakitangan perubatan yang dirempuh pesawat terbakar itu.

Jumlah korban dijangka meningkat.

Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan tragedi itu sebagai “terlalu menyayat hati untuk diungkap”. 

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, yang melawat lokasi kejadian dan hospital malam tadi, memberi jaminan ujian DNA akan diselesaikan “secepat mungkin”.

Air India mendedahkan 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada menaiki pesawat yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, London. 

Termasuk 12 anak kapal, jumlah keseluruhan ialah 242.

Seramai 24 lagi maut di darat apabila pesawat menjunam ke bangunan kediaman.

Di dalam dewan ujian, kelihatan belasan doktor yang keletihan berusaha mengumpul sampel.

“Kami ambil sampel dari bayi hingga warga emas lebih 80 tahun. Saya tak mampu nak gambarkan perasaan ini,” kata seorang doktor yang enggan dikenali.

Tangisan keluarga dan bunyi pesawat lain di lapangan terbang berdekatan menambah keperitan suasana.

“Seorang lelaki datang… isteri, anak dan ibunya turut berada dalam pesawat,” kata doktor itu. “Apa yang mampu saya katakan?”

Seorang wanita yang terlalu sedih enggan mendedahkan namanya berkata menantunya terbunuh.

“Anak perempuan saya belum tahu dia sudah tiada… Saya tak sanggup beritahu. Tolong, biar orang lain sampaikan berita ini.”

Rakan dan saudara turut hadir dalam usaha mendapatkan maklumat.

Premal Mehta, 39, dari Ahmedabad, enggan mempercayai rakan baiknya, Mahesh Jeerawala, turut terkorban.

“Saya guna segala saluran — hubungan politik dan sebagainya — untuk cari dia,” katanya sambil menemani abang Jeerawala yang memberikan sampel DNA.

Ismail Sheikh pula berkata rakan lamanya dari London datang bercuti bersama isteri dan dua anak.

“Lima belas tahun tahun lalu saya hantar dia ke lapangan terbang untuk mulakan hidup baharu di sana,” katanya sebak. “Kini saya di sini… sukar dipercayai.” – AFP

Continue Reading

Previous: Satu kotak hitam pesawat Air India terhempas ditemukan
Next: Pesawat Air India lakukan pendaratan cemas di Phuket akibat ancaman bom

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.